'Saya dah cukup umur undi'
KEPALA BATAS - Tubuhnya yang kecil disangka belum cukup umur 18 tahun untuk mengundi.
Itu dialami seorang remaja, Mohd Aiman Faiz Abd Hamid, 18, yang pertama kali mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu.
Mohd Aiman dari Kampung Lembah hadir ke Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus dekat sini mencuri tumpuan apabila turut berbaris menunggu giliran.
"Ada juga yang pandang pelik bila saya beratur sama nak masuk bilik undi, mungkin sebab saya tak nampak macam budak layak mengundi.
"Selepas tunjuk kad pengenalan, baru mereka percaya," katanya.
Dia yang hadir seorang diri mengakui teruja dapat menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga.
Katanya, ahli keluarga terutama ibu bapanya juga memberi semangat dan memintanya hadir awal untuk membuang undi.
"Dari semalam lagi saya dah buat semakan awal butiran di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tahu mengundi di mana dan saluran berapa. Jadi hari ni mudahlah, terus datang sini," katanya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!