Enrique harap kemelut Mbappe selesai segera
PENGENDALI Paris St Germain (PSG), Luis Enrique berharap kelab itu dapat menyelesaikan pertikaian kontrak yang berterusan dengan pemain sensasi, Kylian Mbappe.
Hala tuju pemain berusia 25 tahun itu berdepan tanda tanya susulan spekulasi perpindahan ke Real Madrid, malah menurut satu laporan dia telah dibekukan daripada latihan pasukan utama.
Tindakan untuk tidak menjual Mbappe pada musim panas ini boleh menyebabkan PSG bakal kehilangan khidmatnya secara percuma tahun depan.
Bagaimanapun mengulas mengenai masa depan Mbappe, Enrique menegaskan bahawa kelab itu 'lebih besar' daripada mana-mana pemain.
“Ia adalah sesuatu yang telah berlaku pada masa lalu dan terdapat penyelesaian positif sebelum saya berada di sini.
“Saya berharap sama seperti dahulu, perkara yang sama akan berlaku lagi dan kelab dan pemain akan mencapai kata sepakat.
“Itulah yang saya mahukan. Falsafah kelab sangat jelas, kelab ini lebih besar daripada mana-mana pemain, mana-mana jurulatih, dan itu adalah sesuatu yang saya bersetuju sepenuhnya,” katanya.
Selain Mbappe, pemain yang dikaitkan dengan perpindahan dari Parc des Princes ialah Marco Verratti dan Neymar.
Neymar telah menyatakan hasrat mahu meninggalkan kelab itu tetapi Enrique tetap menutup mulut mengenai masa depan pemain tersebut.
“Mengenai Marco Verratti dan Neymar, perbualan dengan pemain adalah tertutup.
“Saya tidak akan bercakap tentang apa yang mereka katakan, apa yang saya katakan. Saya tidak fikir itu profesional, saya lebih suka mengekalkan ia harus dijalankan secara dalaman,” ujar Enrique.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!