Kerajaan PH umum tujuh teras capai kemakmuran bersama
PUTRAJAYA - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan tujuh teras strategik bagi memastikan matlamat kemakmuran bersama dapat dicapai.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri negara antara tujuh teras akan dilaksanakan oleh kerajaan.
“Ekosistem perniagaan dan industri negara perlu ditambah baik supaya kekal relevan dan memenuhi kehendak ekonomi masa depan.
“Penggunaan teknologi dan Revolusi Industri 4.0, pengurusan yang lebih terkini dan efektif, pemakaian ekonomi digital secara menyeluruh dan peningkatan kemahiran pekerja yang bernilai tinggi adalah penting untuk melonjakkan ekonomi negara ke aras yang lebih tinggi,” katanya ketika Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu, di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi menjana ekonomi negara kepada aras lebih tinggi dan relevan dengan perkembangan zaman, Malaysia harus meneliti dan mempelopori sektor pertumbuhan baharu.
“Kita tidak boleh terperangkap dalam sektor tradisional dan cara kerja lama. Pelaburan dan pewujudan kapasiti dalam sektor-sektor pertumbuhan baharu amat penting dalam ekonomi dunia yang terus berubah secara radikal.
“Kita tidak harus menjadi negara pengguna tetapi sebaliknya menjadi negara yang mampu mengeluarkan lebih banyak produk sendiri bertaraf antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, proses peningkatan keupayaan dan kemahiran pekerja Malaysia memerlukan perubahan radikal bagi memastikan negara boleh menghasilkan tenaga kerja yang lebih produktif sekali gus memberikan nilai pendapatan tinggi.
“Program-program peningkatan keupayaan dan kemahiran di sektor swasta mahupun disediakan kerajaan akan dilihat semula secara menyeluruh bagi melahirkan tenaga kerja kompetitif, produktif dan relevan dengan kehendak industri dan dunia pada hari ini dan masa depan,” katanya.
Selain itu, katanya penyediaan peluang pekerjaan lebih menyeluruh kepada pekerja tempatan di semua peringkat juga harus menjadi keutamaan kepada kerajaan. “Pekerja kita harus mempunyai pendapatan lebih tinggi bagi memastikan mereka mendapat kehidupan lebih baik.
“Kita akan menentukan polisi dan program yang dapat memberi pendapatan lebih adil kepada pekerja supaya kenikmatan dapat dirasai oleh mereka,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan turut bertanggungjawab kepada golongan kurang berkemampuan, terpinggir dan berpendapatan rendah.
“Polisi dan program ke arah kesejahteraan sosial yang lebih menyeluruh harus diperkukuhkan berdasarkan prinsip memenuhi ekonomi keperluan.
“Kita tidak mahu semasa mengejar kemakmuran negara ada kalangan rakyat yang tertinggal. Walaupun begitu, usaha ini bukan bermaksud untuk negara menyuap nasi ke mulut mereka namun dengan tujuan membantu membangun keupayaan mereka keluar dari kekurangan dan keadaan yang berisiko,” ujarnya.
Katanya, pembangunan wilayah yang inklusif juga antara tujuh teras strategik yang digariskan kerajaan PH.
“Pembangunan ekonomi negara bukan bermaksud hanya beberapa wilayah negara yang dibangunkan namun ke arah pembangunan ekonomi yang inklusif dan teragih.
“Pembangunan pusat-pusat ekonomi yang lebih menyeluruh diseluruh pelosok negara harus diusahakan supaya jurang dalam bandar, antara bandar dan desa, negeri yang maju dan terkebelakang dan antara Semenanjung dan negeri-negeri Borneo harus dikurangkan,” katanya.
Tambah beliau, bagi menyokong pembangunan ekonomi, kerajaan memerlukan masyarakat yang matang, berilmu, bekerja keras dan mementingkan perpaduan. “Peningkatan modal sosial dan struktur sokongan sosial yang utuh adalah penting untuk memastikan negara dapat pesat membangun. “Jati diri dan patriotisme golongan muda juga adalah amat penting bagi memastikan masa depan negara yang cemerlang,” katanya.
Info
Tujuh teras strategik
1. Pengstrukturan dan penambahbaikkan ekosistem perniagaan dan industri negara. 2. Sektor pertumbuhan baharu 3. Reformasi bakat dan sumber tenaga negara. 4. Memperbaiki Pasaran Buruh dan Pendapatan Pekerja. 5. Memperkukuhkan kesejahteraan sosial. 6. Pembangunan wilayah yang inklusif. 7. Peningkatan modal sosial masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!