[VIDEO] Tidak sukar untuk PN menang - Sanusi

A
A
A

SIK - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor optimis bahawa tidak sukar bagi Perikatan Nasional (PN) Kedah untuk menang pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri berkata, beliau sangat yakin berdasarkan gelombang PN di Kedah yang bertambah kuat berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Muhammad Sanusi bersama isteri selesai membuang undi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya Sik.
Muhammad Sanusi bersama isteri selesai membuang undi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya Sik.

"Saya tak gemuruh (atau) gementar hari ini, biasanya kalau tengok suasana berdebar-debar mungkin kalahlah... kita pantau bukan hari ini sahaja (hari undi) malah sejak dua tiga hari yang lepas gelombang sambutan amat baik dan saya harap ia diterjemah ke kertas undi.

"Jadi saya nampak harapan cerah daripada perkembangan gelombang sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas selesai membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baharu Beris Jaya di sini pada Sabtu.

Beliau yang tiba pada jam 11 pagi ditemani isterinya, Jusmalailani Jusoh dan selesai kira-kira 20 minit kemudian.

Ditanya mengenai potensi PN secara keseluruhan di enam negeri yang berdepan PRN, Sanusi merasakan akan wujud beberapa tokoh besar yang tumbang.

"Seluruh negeri yang menghadapi PRN15 saya nampak gelombang PN itu besar dan akan ada beberapa 'upset' di beberapa negeri.

Artikel Berkaitan:

"Setidak-tidaknya di beberapa DUN, tokoh-tokoh besar PH-BN akan tumbang dan beberapa calon 'underdog' PN akan menang, kita tunggulah malam ini," katanya.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, walaupun tidak berlaku perubahan menyeluruh di enam negeri, namun kejutan akan berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Muhammad Sanusi bersama pengundi di DUN Jeneri selepas selesai membuang undi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya Sik.
Muhammad Sanusi bersama pengundi di DUN Jeneri selepas selesai membuang undi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya Sik.

Ketika ditanya adakah beliau akan dilantik menjadi Menteri Besar sekiranya PN menang malam ini, beliau berkata, perkara itu merupakan satu proses yang berlainan yang akan diputuskan kelak.

"Yang itu saya tak tahu lagi kerana itu proses lain, ini merupakan proses untuk pengundian untuk jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dahulu dan jawatan MB proses yang berlainan nanti," katanya.

Pengundian bagi PRN 15 DUN Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan di mana Sanusi berdepan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

Pada PRU14, Sanusi menang selepas menewaskan penyandang BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!