PRN: Anak muda harus dididik pilih calon bukan sebab populariti
KUALA LUMPUR - Generasi baharu pengundi harus dididik untuk membuat pilihan dengan baik dan bukan hanya berlandaskan populariti atau elemen hype di media sosial semata-mata.
Felo Penyelidik Ilham Centre dan Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abdul Muis berkata, didikan itu harus dilakukan dengan strategi yang betul, mengambil kira peralihan zaman.
Mengambil contoh kemenangan seorang artis senior dalam satu anugerah berprestij baru-baru ini, Mujibu menegaskan, jika pola pemilihan yang sama berlaku dalam politik, ia sesuatu yang berbahaya untuk masa depan negara.
"Kalau nak kata anak muda hari ini tak pandai mengundi atau tak biasa dengan konsep memilih, itu tak betul kerana generasi ini lahir daripada generasi realiti televisyen.
"Tetapi konsep mereka memilih ialah melihat pada elemen popular, ini masalahnya. Kalau kita lihat baru-baru ini, bagaimana seorang artis yang tak pernah menang anugerah tapi kerana gelombang (di media sosial) itu kuat, maka dia menang, di sebalik tidak mempunyai segmen kelompok peminat tertentu.
"Kalau kita pindahkan situasi ini kepada politik, ini berbahaya kerana kita seharusnya tidak dilatih untuk memilih siapa yang popular, tapi harus letak tanggungjawab untuk memilih siapa yang berkelayakan," katanya dalam siaran khas Enam Negeri Memilih pada Sabtu.
Tambahnya, biarpun bukan medium utama, namun media sosial menjadi platform termudah untuk mendekati golongan ini, namun menekankan kepentingan mencari strategi tertentu yang berkesan.
Dalam pada itu, Mujibu juga berpendapat aspek manifesto perlu dimasukkan dalam agenda reformasi bagi membawa negara ke arah pendemokrasian yang lebih baik.
Katanya, jika benar hasrat reformasi politik dan institusi mahu direalisasikan, manifesto harus dijadikan satu aku janji sah bagi semua parti politik bertanding dalam satu pilihan raya.
"Manifesto selalunya jadi kontroversi selepas sesebuah parti menang. Ketika ini baru manifesto disorot dan dipolemikkan, akhirnya kita tahu bagaimana manifesto 'bukan sebuah kitab suci' bagi mereka... kata mereka rangka manifesto tanpa menjangka boleh menang.
"Maknanya manifesto bukan perkara penting dalam parti itu berbanding aspek calon dan parti yang merupakan kerangka yang lebih besar.
"Saya berpendapat, sebagaimana falsafah manifesto itu yang perlu dibentangkan...ini pun kontroversi juga sebab ada calon cakap bentang manifesto selepas menang. Itu salah kerana falsafah manifesto ini satu penawaran dan penawaran ini perlu dibuat secara meyakinkan," katanya lagi. - Awani
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!