PRN: Golongan muda rai demokrasi, tunai tanggungjawab undi
KUALA LUMPUR - Golongan muda yang merupakan penyumbang terbesar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini terus menyuburkan amalan demokrasi dengan menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi.
Lebih separuh daripada 9.67 juta pengundi pada PRN di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor melibatkan belia di bawah umur 39 tahun dengan 661,905 pengundi berusia antara 18-20 tahun, 2.16 juta (21-29) dan sebanyak 2.16 juta (30-39).
Bagai ikan pulang ke lubuk, pengundi muda NEGERI SEMBILAN tidak melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.
Seorang eksekutif jualan Hu Pei Her, 26, yang bekerja di Kuala Lumpur ketika ditemui di pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Hua berkata beliau pulang sehari awal sebelum hari pengundian bagi memilih wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambau.
"Ini kali kedua saya mengundi, dan ini saya anggap sebagai tanggungjawab sebagai warganegara yang perlu saya laksanakan," katanya ketika ditemui Bernama di pekarangan sekolah berkenaan.
Pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Wong Chin Yeow, 22, pula menaiki kereta api untuk pulang ke Seremban pagi ini bagi mengelak kesesakan lalu lintas untuk mengundi bagi kerusi DUN sama.
Chin Yeow yang ditemani adiknya, Wong Wei Shin, 19, berkata, generasi muda perlu memandang serius tanggungjawab sebagai pengundi dalam menentukan masa depan rakyat dengan memilih pemimpin yang mempunyai visi jelas dan komited mengenai pembangunan negara.
Seorang lagi pelajar, Chong Chin Yong, 23, berkata, dia berasa seronok dapat memilih pemimpin bagi mewakili suaranya di peringkat negeri.
Tinjauan Bernama di pusat pengundian SJKC Sin Hua turut mendapati keadaan tenang dan proses pengundian berjalan dengan lancar selain kebanyakan pengundi hadir memakai topeng muka serta mematuhi arahan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Di Kota Bharu, KELANTAN, semangat untuk melihat perubahan khususnya di negeri itu selain cakna dengan situasi politik semasa membuatkan pengundi muda di negeri ini tidak melepaskan peluang untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.
Penuntut Politeknik Kota Bharu di Kok Lanas Muhammad Mirza Shahmi Sazami, 20, berkata, undi golongan muda memberi pengaruh sangat penting dalam menentukan arah kepimpinan pentadbiran negeri yang bakal diberi mandat untuk memerintah dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Walaupun ini kali kedua saya keluar mengundi, saya masih teruja memandangkan perlu membuat pilihan tepat untuk memilih wakil rakyat yang bertanggungjawab bagi tempoh lima tahun akan datang.
"Saya berharap keputusan PRN pada hari ini berpihak kepada pemimpin yang sewajarnya sekali gus dapat memberi keadilan kepada rakyat selain perubahan dari sudut ekonomi khususnya di Kelantan,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Islah di sini hari ini.
Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Nur Miza Shuhada Sazami, 19, yang ditemui di pusat pengundian sama berharap golongan belia tidak melepaskan peluang mengundi pada hari ini.
"Orang muda perlu mengundi demi masa depan yang lebih baik. Anggaplah mengundi ini sebagai tanggungjawab kita sebagai seorang rakyat untuk mengubah keadaan politik termasuk kebajikan rakyat ke arah yang lebih baik,” katanya. - Bernama
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!