MB Kelantan seru anak muda keluar mengundi
TUMPAT - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyeru golongan muda untuk segera keluar melaksanakan tanggungjawab pada negeri dengan keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) ini.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di beberapa pusat pembuangan undi di Tumpat mendapati saluran lima dan enam kurang mendapat sambutan.
"Saya rasa dalam jam 3 pengundi muda akan keluar mengundi, mungkin malam tadi berkonvoi," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Palekbang di sini.
Menurut Ahmad, tindakan untuk segera keluar mengundi itu penting kerana dibimbangi hujan pada waktu petang.
Sementara itu, beliau yakin Pas akan terus kekal mentadbir Kelantan pada penggal akan datang.
Ahmad yang juga calon Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan berkata, ini kerana gelombang rakyat pada parti itu masih kukuh.
Pada PRN kali ini, Ahmad selaku penyandang kerusi itu ditentang oleh Zamakh Sari Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH).
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan Ahmad menang dengan majoriti 8,352 undi menewaskan Wan Sanusi Wan Yunus (BN) dan Wan Johari Wan Omar (PKR).
Ahmad meraih 14,298 undi, Wan Sanusi (5,946) dan Wan Johari (2,140).
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!