KPDN pantau lebih 500,000 premis seluruh negara sejak Januari - Armizan
PENAMPANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) giat menjalankan aktiviti penguatkuasaan dengan telah memeriksa 512,204 premis perniagaan di seluruh negara, sejak 1 Januari hingga 31 Julai lepas.
Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada penguatkuasaan yang dijalankan itu, sebanyak 7,711 kes dibuka melibatkan nilai rampasan RM54.4 juta.
Beliau berkata, kementeriannya turut mengeluarkan kompaun dan denda berjumlah RM6.9 juta, selain merekodkan tangkapan melibatkan 415 orang.
"Ini menunjukkan penguatkuasaan dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam memastikan kita dapat mewujudkan persekitaran perdagangan sihat dan pengguna berkat. Ini penting,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Cabaran Interaktif Pengguna, Kelab Pengguna Sekolah peringkat Sabah 2023 di Taman Hidupan Liar Lok Kawi di sini hari ini.
Program disertai seramai 36 peserta daripada sembilan sekolah di Sabah itu merupakan aktiviti tahunan KPDN dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, antara lain bertujuan mendidik, menyebar luas dan meningkatkan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan pelajar.
Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN komited untuk terus memperkasa aspek pemantauan dan penguatkuasaan bagi meningkatkan lagi fungsi, kompetensi dan kecekapan warga penguat kuasa kementerian berkenaan.
"Begitu juga dalam aspek perundangan. Di bawah KPDN, ada 12 akta terlibat termasuk berkaitan dengan penguatkuasaan.
"Justeru, adalah perlu untuk mana-mana akta dikaji, diteliti dan dibuat pindaan bagi membolehkan aspek penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Mengulas mengenai Jualan Rahmah di Sabah, Armizan berkata, kementeriannya optimis rakyat negeri itu, khususnya B40, akan lebih menikmati manfaat program tersebut apabila ia diperluaskan menerusi konsep Jualan Rahmah Bergerak.
Beliau berkata, peruntukan tambahan RM50 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lepas bagi memperluaskan program itu akan membolehkan Jualan Rahmah Bergerak diadakan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!