Musk, Zuckerberg bertarung di Rom?

Musk (kanan) beri bayangan pertarungan MMA dengan Zuckerberg mungkin diadakan di tapak bersejarah Coloseum di Rom. - Agensi
Musk (kanan) beri bayangan pertarungan MMA dengan Zuckerberg mungkin diadakan di tapak bersejarah Coloseum di Rom. - Agensi
A
A
A

SAN FRANCISCO - Pengasas Tesla, Elon Musk mengumumkan pertarungan seni bila diri campuran (MMA) yang dinanti-nantikan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mark Zuckerberg akan berlangsung di Itali.

Musk, 51, membuat pengumuman itu di X (dahulu dikenali sebagai Twitter) pada Jumaat ketika pihak berkuasa Itali mengesahkan terdapat perbincangan mengenai panganjuran acara amal yang hebat.

Meskipun pertarungan MMA antara dua taikun media sosial itu belum disahkan secara rasmi, namun Musk memberitahu segala perancangan sedang diatur.

"Saya sudah bercakap dengan Perdana Menteri Itali (Giorgia Meloni) dan Menteri Kebudayaan (Gennaro Sangiuliano).

"Mereka telah bersetuju mengenai lokasi epik," dakwa Musk.

Sangiuliano sebelum ini berkata bahawa sebarang acara bersama Musk akan menjana keuntungan ratusan juta euro yang akan didermakan kepada dua hospital pediatrik di Itali.

Biar pun tidak menjelaskan secara terperinci, namun Musk memberi bayangan bahawa pertarungan itu akan diadakan di tapak bersejarah Colosseum di Rom.

Sementara itu, Zuckerberg, 39, dalam hantaran di Thread memuat naik gambarnya tidak berbaju dan sedang mengunci tubuh lawan sparingnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jun lalu, Musk mencabar Zuckerberg bertarung dalam gelanggang MMA susulan pertikaman lidah berhubung tindakan CEO Meta itu melancarkan Threads yang dilihat sebagai saingan langsung kepada X.

Malah, Musk berharap pertarungan tersebut akan diadakan di sebuah tapak warisan dunia UNESCO di Rom.

Zuckerberg adalah pengamal jiu-jitsu dan pernah berlatih dengan jaguh UFC antaranya George St Pierre, Israel Adesanya dan Alex Volkanovski.

Presiden UFC, Dana White sebelum ini mengalu-alukan pertarungan Musk-Zuckerberg dan menganggap ia adalah pertarungan paling menguntungkan dalam sejarah MMA kerana mampu menjana keuntungan sehingga AS$1 bilion (RM4.5 bilion).

Malah, White berkata UFC tiada masalah meminjamkan gelanggangnya di Las Vegas jika pertarungan itu menjadi kenyataan. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!