Tindakan tegas terhadap individu sebar kandungan hina institusi diraja
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan mahupun pandangan berbaur kebencian dan penghinaan yang melibatkan institusi diraja di media sosial serta aplikasi pemesejan.
SKMM dalam satu kenyataan berkata, peringatan itu dibuat susulan perkongsian oleh individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan kandungan berbentuk penghinaan terhadap institusi diraja.
"Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
"SKMM akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik melibatkan institusi diraja," katanya pada Sabtu.
Menurut SKMM, tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peruntukan undang undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.
"Oleh itu, orang ramai diingatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menghina institusi diraja sebaliknya melaporkan perkara itu kepada SKMM di pautan https://aduan.mcmc.gov.my dan PDRM," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!