PRN: Satees dakwa terima ugutan di pusat mengundi
BUTTERWORTH - Calon Bebas Bagan Dalam, Satees Muniandy bimbang keselamatan diri dan ahli keluarganya selepas mendakwa menerima ugutan daripada individu rapat dengan calon parti lawan dalam kejadian di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior di sini pada Sabtu.
Menurut Satees, beliau menerima ugutan yang mengancam nyawa itu ketika membuat tinjauan di pusat mengundi berkenaan kira-kira jam 2.45 sebelum bertembung dengan calon berkenaan bersama beberapa pengikutnya.
Satees mendakwa, calon berkenaan tiba-tiba memaki hamun dan mencabarnya untuk berlawan satu dengan satu dengannya sebelum beberapa rakannya dikatakan mengugut mahu mengancam keselamatan dirinya.
"Salah seorang pengikut calon itu pula mula memarahi saya dan mengugut dengan kata-kata 'esok saya akan potong pokok dengan akar sekali' yang disifatkan mahu mengancam keselamatan saya.
"Beberapa lagi pengikutnya turut berulang kali memberi amaran kepada saya termasuk mahu membuatkan hidup saya merana," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Satees yang menggunakan logo pokok pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini berkata, tujuan tinjauan di pusat mengundi itu dilakukan bagi memantau keadaan peti undi selepas mendapat laporan proses pengundian di satu saluran peti undi di Paya Terubong terpaksa dihentikan selepas kotak undi itu didapati tidak ditutup.
Katanya, beliau tidak menyangka akan bertembung dengan calon berkenaan hingga berlaku insiden itu.
Ditanya bagaimana insiden itu bermula, Satees berkata, calon berkenaan mula memaki hamun selepas beliau bercakap dengan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertugas bagi melihat keadaan kotak undi.
"Pada mulanya, saya tidak melayan provokasi yang dilakukan oleh mereka, namun apabila mereka mengugut, ini bukan sahaja mengancam nyawa saya malah keluarga saya.
"Berikutan itu, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Butterworth pada petang Sabtu dan saya harap polis dapat memberikan perlindungan keselamatan buat saya dan keluarga," katanya.
Sementara itu, K Kumaran ketika dihubungi Sinar Harian menafikan dakwaan Satees dan menyifatkan fitnah yang dibuat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam itu sebagai terdesak.
"Saya tidak maki hamun dia, cuma saya kata kepada Pegawai SPR yang bertugas supaya tidak membenarkan sesiapa sahaja memegang 'seal' kotak undi itu dan menyebabkan dia tak puas hati.
"Saya rasa dia takut nak terima kekalahan dan mula buat bermacam-macam cerita selain cuba memburukkan orang lain," katanya.
Kumaran berkata, beliau sedia untuk memberikan kerjasama dengan pihak polis sekiranya dipanggil membantu siasatan malah telah bersedia mengemukakan semua bukti bagi menafikan dakwaan Satees.
Tambahnya, satu laporan polis juga akan dibuat terhadap Satees atas tindakan sabotaj dan mahu memburukkan pihak lawan.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN: Calon PH didakwa langgar peraturan
Hasrat warga emas mengundi tak kesampaian
PRN Kedah: Terkejut tak dapat mengundi, nama telah digunakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!