PRN: Sanusi didakwa 'tayang' kertas undi, langgar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954
KUALA LUMPUR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa telah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila dengan sengaja menayang kertas undi beliau kepada petugas media.
Memetik perkongsian seorang pengguna laman X, @La_FarEast, gambar yang dilampirkan jelas menunjukkan Sanusi, mempamerkan pilihan beliau di atas kertas undi itu, sebelum memasukkannya ke dalam kotak undi.
Semakan ke atas akta berkaitan mendapati ia merupakan satu kesalahan di bawah Perkara (39), yang menyebut - tiada pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan pilihan raya itu, dikehendaki menyatakan siapa yang telah diundinya.
Akta tersebut selanjutnya menyebut, kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.
Portal Malaysiakini melaporkan kejadian serupa pernah berlaku sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Besut pada 2013, apabila calon BN ketika itu, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman melakukan perbuatan yang serupa, dan ditegur oleh Pengerusi SPR ketika itu Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. - Awani
ARTIKEL BERKAITAN: PRN: Calon PH didakwa langgar peraturan
Hasrat warga emas mengundi tak kesampaian
PRN Kedah: Terkejut tak dapat mengundi, nama telah digunakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!