Polis terima dua laporan kad pengenalan digunakan orang lain

Seorang individu memuat naik hantaran di media sosial mendakwa tidak dapat mengundi setelah kad pengenalan miliknya didaftarkan orang lain pada Sabtu.
Seorang individu memuat naik hantaran di media sosial mendakwa tidak dapat mengundi setelah kad pengenalan miliknya didaftarkan orang lain pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Polis membuka dua kertas siasatan berkaitan laporan dakwaan penggunaan kad pengenalan oleh individu lain di dua pusat pengundian dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa'aton Abu Bakar berkata, laporan diterima melibatkan dua pengundi masing-masing di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh dan pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Bestari.

"Menerusi kedua-dua laporan yang dibuat, mangsa mendakwa tidak dapat membuat pengundian setelah semakan dijalankan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati nombor kad pengenalan miliknya telah membuang undi sebelum itu.

"Mangsa yang tidak berpuas hati dengan kejadian terbabit kemudiannya tampil membuat laporan polis sejurus selepas kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kedua-dua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan siasatan lanjut berkaitan kes ini sedang dijalankan pihak polis.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dijalankan," katanya.

Pada Sabtu, tular di media sosial hantaran yang dimuat naik seorang individu mendakwa tidak dapat membuat pengundian di salah sebuah lokasi di Sungai Buloh.

Mangsa mendakwa kad pengenalan miliknya didaftarkan terlebih dahulu individu lain dan sudah mengundi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!