PRN: Petugas media cedera ringan, khemah terbalik
HULU SELANGOR - Seorang petugas media cedera ringan setelah khemah menunggu di pusat pengundian Sekolah Rendah Agama (SRA) Serendah di sini, terbalik akibat ribut pada Sabtu.
Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan seorang lelaki berumur 49 tahun sedang berteduh di bawah khemah tersebut.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.20 petang.
"Mangsa dipercayai bersama beberapa pengundi berada di bawah khemah tersebut sebelum ia terbalik akibat ribut.
"Mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian belakang akibat terkena bilah kipas. Beberapa individu lain yang turut berada di lokasi bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Katanya, mangsa dipercayai mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Serendah.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius, hanya calar di bahagian belakang.
"Setakat ini tiada laporan polis dibuat berkaitan kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!