[VIDEO] Bernhardt nafi hidup tersepit

A
A
A

BEKAS pengendali Kelantan FC, Frank Bernhardt mengakui tidak berdepan sebarang masalah selepas timbul laporan beliau bermalam di sebuah stor baru-baru ini.

Bagaimanapun, Bernhardt dilihat cuba berselindung mengenai kisah sebenar ketika beliau ditemu bual pihak media di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu.

Tindakan Bernhardt itu menyebabkan dia ditegur oleh Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Datuk Richard Scully yang turut hadir ke hotel untuk membantu Bernhardt.

Richard turut meminta Bernhardt dan ejennya, Sherif Shekoo menceritakan perkara sebenar kepada pihak media dalam sidang media yang diadakan kemudiannya di hotel berkenaan.

Frank Bernhardt
Frank Bernhardt

“Ia sudah lewat malam, kira-kira 2.30 atau 3 pagi dan saya menginap dua malam di bilik tersebut. Tetapi terdapat katil, tandas dan dapur, jadi ia seperti sebuah apartmen.

“Saya ada wang, saya tidak ada masalah besar, baru malam pertama saya tiba di Kuala Lumpur dan sudah lewat jadi dia (Iskandar, rakan sekerja) kata saya boleh tinggal di tempatnya.

“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, mengapa saya perlu menyembunyikan apa-apa? Banyak yang keluar di media tetapi maaf, semuanya baik untuk saya," kata Bernahrdt.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Bernhardt berkata, beliau masih menunggu tiket penerbangan pulang ke Jerman memandangkan Kelantan FC perlu memberikan tiket kepadanya seperti termaktub dalam kontrak.

Namun, beliau enggan mendahulukan wangnya bagi membayar tiket penerbangan itu yang dianggarkan berharga RM3,500 kerana tidak pasti sama ada pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman akan membayarnya kembali.

Terdahulu, sebuah media tempatan melaporkan seorang jurulatih berstatus import dalam saingan Liga Super ketika ini hidup dalam keadaan tersepit di sekitar Lembah Klang sejak beberapa minggu lalu.

Menurut laporan media berkenaan, jurulatih yang baru dipecat oleh sebuah kelab Liga Malaysia (Liga-M) itu terpaksa tidur beberapa hari di dalam kereta selepas duit simpanannya habis.

Malah, individu terbabit turut dilaporkan terpaksa tinggal di sebuah stor milik rakannya sementara berusaha mencari dana untuk pulang ke negara asalnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!