PSG ikat Dembele lima tahun
PARIS Saint-Germain (PSG) menandatangani pemain baharu, Ousmane Dembele ketika masa depan penyerang sensasi, Kylian Mbappe bersama kelab itu masih menjadi tanda tanya.
Pemain berusia 26 tahun itu yang berhijrah dari Barcelona menandatangani kontrak selama lima tahun bersama PSG.
Dembele adalah pembelian kesembilan musim ini selepas PSG kehilangan Lionel Messi kepada Inter Miami dan mungkin dalam tempoh terdekat Mbappe akan turut meninggalkan pasukan.
Mbappe enggan menandatangani kontrak lanjutan bersama PSG, bermakna pemain berusia 25 tahun itu boleh pergi secara percuma tahun depan dengan Real Madrid sudah lama dilihat sebagai destinasi pilihannya.
PSG mahu segera menjual Mbappe dengan bayaran perpindahan yang besar untuk pemain yang bernilai 180 juta euro (RM905.29 juta) ketika dibeli dari Monaco pada 2017.
“Kedudukan itu sangat jelas. Jika Kylian (Mbappe) mahu kekal, dia mesti menandatangani kontrak baharu.
“Kami tidak boleh membiarkan pemain terbaik di dunia pergi secara percuma. Ia mustahil,” ujar presiden PSG, Nasser al-Khelaifi pada Julai lepas.
Mbappe tidak dibenarkan berlatih bersama pasukan utama dan bermain hanya satu daripada lima perlawanan pemanas badan PSG dan tidak dijemput ke jelajah pramusim di Jepun serta Korea Selatan.
Biarpun disisihkan, Mbappe adalah antara pemain pertama mengalu-alukan kedatangan Dembele ke Parc des Princes.
“Selamat pulang saudara saya, sangat gembira melihat anda di sini. Pengembaraan bermula,” tulis Mbappe di media sosialnya.
Mbapee menyambut Dembele yang bersamanya memenangi Piala Dunia pada edisi 2018.
Sebagai rekod Dembele menyertai Barcelona pada 2017 dari Borussia Dortmund dan menyambung kontraknya tahun lalu sehingga 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!