Ismail Sabri dakwa kerajaan PH gagal

 Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal selepas setahun mengambil alih pentadbiran negara.

Katanya, perkara itu terbukti apabila bukan sahaja ekonomi tidak berkembang malah pertumbuhan juga terus mengucup.

“Saya menunggu tarikh hari ini (9 Mei) dengan rasa terkilan dan sedih dengan apa yang berlaku kepada rakyat. Menginsafi jatuhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) mungkin disebabkan kegagalan yang terwujud (ketika pentadbiran BN) sehingga rakyat hilang keyakinan dan memilih PH tetapi pada akhirnya rakyat menanggung beban yang berlaku dari salah memilih serta beberapa sebab lain.

“Rakyat (hari ini) terus terbeban dengan sengsara. Tiada dasar baharu untuk rakyat. PH hanya mampu menukar nama dasar-dasar yang telah dibuat BN. Projek-projek, dasar dan program-program hanya bertukar nama dan lambang,”katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Jelas Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera itu lagi, pemimpin PH juga dilihat terus menerus menyalahkan kerajaan BN untuk melepaskan diri kerana tidak mampu menguruskan negara.

Tambahnya lagi, menyedari keperitan yang dialami rakyat, blok pembangkang di Parlimen akan sentiasa berjuang dan membawa permasalahan rakyat khususnya rakyat luar bandar yang terkesan dari polisi dan dasar kerajaan baharu ini.

“Saya sedar bahawa BN tidak sempurna tetapi kami tidak sesekali memperbodohkan rakyat dengan menjanjikan bulan dan bintang tetapi mengkhianatinya tanpa rasa bersalah.

“Kami bukan kerajaan sempurna tetapi kami tidak sesekali mengkhianati apa jua yang ada dalam perlembagaan khususnya melibatkan Islam dan Melayu,”katanya.

Artikel Berkaitan:

PH hari ini meraikan setahun berkuasa selepas mencipta sejarah apabila menamatkan penguasaan BN selama 61 tahun selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei tahun lalu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!