PRN: MB Kelantan baharu 15 Ogos ini
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kelantan yang baharu akan mengangkat sumpah pada 15 Ogos ini.
Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semasa pengumuman kemenangan Perikatan Nasional di Dataran Ilmu di sini pada Sabtu.
Menurutnya, perbincangan berhubung perkara itu akan dimulakan terus pada malam Sabtu.
“Insya-ALLAH kita akan berbincang berkaitan perkara itu malam ini dan 15 Ogos ini, Menteri Besar Kelantan yang baharu akan angkat sumpah,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman kemenangan Perikatan Nasional (PN) Kelantan.
Pada PRN itu, beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan meraih majoriti 12,811 undi sekali gus mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan.
Ahmad memperoleh 18,783 undi sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Zamakh Sari Ibrahim dengan 5,972 undi.
Sebelum itu, Ahmad mengaku terpaksa melepaskan jawatannya atas sebab kesihatan dan sudah terlebih dahulu memaklumkan hasrat itu kepada pimpinan parti sejak awal tahun ini.
Bekas guru berusia 73 tahun itu dilantik selaku Menteri Besar Kelantan pada 2013 bagi menggantikan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!