PRN: Menteri Besar Kelantan minta maaf
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memohon maaf kepada seluruh rakyat di negeri ini seandainya ada perkara yang tidak disenangi berlaku sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN).
Beliau membuat permohonan maaf itu kepada semua jika ada perkara yang tidak disenangi berlaku sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN).
“Saya menyatakan secara ringkas ingin memohon kemaafan kepada semua pihak sepanjang kami melaksanakan kempen baru-baru ini.
“Saya bimbang jika ada berlaku apa-apa perkara yang tidak disenangi oleh rakyat khususnya di negeri Kelantan,” katanya ketika berucap pada pengumuman kemenangan Perikatan Nasional (PN) Kelantan pada PRN di Dataran Ilmu di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.
Ahmad dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada rakyat Kelantan yang beri sokongan penuh kepada Perikatan Nasional (PN) hingga beroleh kemenangan di 43 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Katanya, amat menghargai Annuar yang menjadi antara individu penting membantu dalam kempen PN di Kelantan.
“Saya menghormati Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Tan Sri Annuar dan calon-calon PN yang mendapat kemenangan serta dua calon yang tidak dapat memenangi pertandingan.
“Penghargaan juga kepada semua jentera parti termasuk Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berganding bahu dan bekerja keras hingga memberi kemenangan yang sangat selesa iaitu lebih daripada dua per tiga atau majoriti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!