Zahid gagal kemudi Umno
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A
Pandangan itu disuarakan Ketua Umno Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday yang mendakwa Ahmad Zahid hanya mempertahankan diri terhadap pertuduhan mahkamah terhadapnya dan enggan mendengar isu yang ahli akar umbi bawakan.
Menurutnya, akar umbi menginginkan tindakan dan gerakan presiden seiring dengan kata-katanya ketika berkempen semasa pemilihan parti untuk menjadikan Umno pembangkang yang kuat selain mengukuhkan kewangan parti.
“Rata-rata semua ini tidak yakin dengan kepimpinan parti kerana presiden parti tiada hala tuju jelas. Lawatan presiden ke semua negeri hanya lebih kepada jelaskan pertuduhan terhadap dirinya, saya ikut di semua negeri.
“Mengatakan seolah-olah semua itu pertuduhan politik. Orang nak dengar hala tujunya, kita ada Ahli Parlimen, ada wakil rakyat...jadi nak buat apa ni?” katanya memetik laporan MalaysiaGazette.
Beliau turut menganggap Ahmad Zahid sebagai satu-satunya presiden yang tiada perasaan apabila menyeru ahli Umno supaya tidak panik dengan perkembangan mutakhir ini membabitkan parti itu.
Ujarnya, ahli di semua peringkat wajar berasa cemas dan bimbang kerana suasana itu bakal membawa gelombang seterusnya dengan ramai lagi dijangka mengikut langkah itu.
“Kenyataan dia kata akar umbi jangan panik. Bagi saya, dia presiden yang tiada perasaan. Siapa tak panik bila di Sabah, sebahagian besar Ketua Bahagian keluar.
“Bila ketua pergi, walaupun tidak semua tetapi sebahagian besar (ahli Umno) akan ikut sama,” ujarnya.
Justeru, beliau konsisten dengan pendiriannya sebelum ini yang merasakan jalan terbaik untuk Umno adalah dengan Ahmad Zahid sendiri mengundurkan diri.
“Urusan parti akan lebih mudah kalau dia berundur. Kalau diadakan EGM (Mesyuarat Agung Khas) untuk menentukan kedudukan presiden, nanti akan bercelaru parti sebab ada kempen gerakan dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!