PKR gagal halang gelombang hijau di Permatang Pauh
GEORGETOWN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang gagal menghalang gelombang hijau dari terus merebak ke negeri ini terutamanya di kawasan Permatang Pauh apabila hanya memenangi tujuh daripada 13 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Bakhtiar Wan Chik berkata, tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Permatang Pauh juga terlepas di tangan pihak lawan selain beberapa kerusi lain yang majoritinya pengundi Melayu di negeri ini.
"Saya rasa ini satu pengajaran pada kita...Walaupun kita sudah bersedia menghadapi PRN ini sejak PRU15 lalu, namun kita kena kena terima keputusan yang telah dibuat rakyat.
"Pastinya calon-calon akan meneliti sebab kekalahan itu dan kita rasa antara punca disebabkan pihak lawan banyak main dengan sentimen dan kita gagal menangkis dengan segera,"katanya ketika ditemui media majlis pengumuman kemenangan Kerajaan Perpaduan di St Giles Hotel, pada Sabtu.
Hadir mengumumkan kemenangan itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Sementara itu, Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang pula akan menilai semua kelemahan yang ada parti itu hingga menyebabkan mereka tewas empat dari enam kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.
Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh pengundi dan menerima dengan hati terbuka.
"Kita akan lihat kelemahan-kelemahan yang ada dan kenapa rakyat tolak kita di empat kerusi yang kita bertanding.
"Sudah pasti UMNO akan melakukan 'post moterm' dalam masa terdekat bagi melihat apakah punca kita tidak diterima pada PRN kali ini," katanya ketika ditemui media majlis pengumuman kemenangan Kerajaan Perpaduan di sini,pada Sabtu.
Musa berkata, kesemua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN akan terus memberi khidmat kepada masyarakat dan bekerja seperti biasa.
Tambahnya, dua ADUN BN yang baharu iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Mercian yang menang di kerusi Bertam dan Rashidi Zainol di Sungai Acheh akan memberikan kerjasama serta sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan yang akan dibentuk nanti di Pulau Pinang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!