[VIDEO] Kemenangan DUN Bertam beri makna lebih besar - Reezal Merican

A
A
A

KEPALA BATAS - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menganggap kemenangannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam pada pilihan raya negeri (PRN) lebih bermakna terutama dalam kedudukan senario politik ketika ini.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, kemenangan itu memberi pengukuhan kerana dilihat mempunyai kedudukan secara lebih representatif dalam kerajaan negeri bukan sahaja mewakili kaum Melayu tetapi Cina dan India.

"Saya rasa ini satu kepuasan yang tidak dirasai sewaktu menjadi ahli Parlimen kerana dahulu orang BN saja yang bantu saya tetapi sekarang rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) juga membantu.

"Kerana itu saya anggap kemenangan ini amat bermakna, ini permulaan untuk saya lakukan lonjakan di bawah formula Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Millenium pada Sabtu.

Reezal Merican yang memperoleh 10,453 undi menewaskan penyandangnya, Khaliq Mehtab Mohd Isyaq daripada Perikatan Nasional (PN) (8,132 undi).

Beliau mengakui, kemenangan dengan majoriti 2,321 undi itu seakan menebus kekecewaan dan kekalahannya di kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Katanya, kedudukannya sebagai wakil rakyat Bertam akan dapat membantu pembangunan di Parlimen Kepala Batas apabila dua lagi kerusi DUN iaitu Penaga dan Pinang Tunggal masing-masing dimenangi calon PN.

Artikel Berkaitan:

Reezal Merican (tengah) bersama calon PN dari Penaga Muhd Yusni Mat Piah dan Pinang Tunggal Bukhori Ghazali meraikan kemenangan dalam PRN di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Millenium pada Sabtu. - Foto: Bernama
Reezal Merican (tengah) bersama calon PN dari Penaga Muhd Yusni Mat Piah dan Pinang Tunggal Bukhori Ghazali meraikan kemenangan dalam PRN di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Millenium pada Sabtu. - Foto: Bernama

"Secara ikhlas, saya rasa lega kerana dapat tebus semula kekalahan saya. Kehadiran saya amat penting menjadi wakil untuk sebarang bentuk pembangunan di Kepala Batas ini," katanya.

Ditanya kemungkinan kemenangannya membawa kepada lantikan pimpinan Exco dalam kerajaan negeri, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan di peringkat kepimpinan parti.

"Sandaran saya peringkat awal (bertanding) adalah untuk menang dahulu sebab nak bantu pembentukan Kerajaan Perpaduan di sini.

"Sebab saya tahu, Chow Kon Yeow (Ketua Menteri Pulau Pinang) mahu rakan kongsi yang mempunyai kredibiliti dan bermaruah daripada parti beraspirasikan kepentingan Melayu," katanya.

Pada PRU15 lalu, Reezal Merican gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas yang dimenanginya selama dua penggal selepas tewas kepada Dr Siti Mastura Muhammad daripada PN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!