PRN: PH gagalkan 'gelombang hijau' di Selangor
KLANG - Pasukan Perpaduan yang baharu dibentuk tiga bulan lalu di Selangor berjaya menewaskan gelombang hijau yang direkayasa semenjak Februari 2020.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pasukan itu bersedia untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Selangor.
"Alhamdulillah, rakyat Selangor membuat keputusan tepat dengan mengiktiraf pasukan Perpaduan pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor yang usai berlangsung hari ini.
"Terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Selangor atas mandat yang diberikan.
"Keputusan pilihan raya ini seterusnya akan dipersembahkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor," katanya
Beliau berucap di Pusat Pengumuman Keputusan PRN calon-calon Perpaduan di Hotel Wyndham Klang di sini pada Ahad.
Amirudin menambah Kerajaan Perpaduan itu juga akan mewakili setiap rakyat Selangor tanpa mengira fahaman politk mereka.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak menghormati mandat rakyat dan menghentikan segala adu domba bersifat memecah belahkan masyarakat dan menganggu-gugat kestabilan negeri.
"Pasukan Perpaduan negeri Selangor ini bersedia untuk melaksanakan semua perancangan serta ikhtiar polisi yang telah ditawarkan sebelum ini," katanya.
Ujarnya lagi, pasukan Perpaduan itu juga akan berusaha keras untuk mengukuhkan keharmonian kaum di negeri Selangor.
"Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat Selangor yang memilih perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran," katanya.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya, petugas keselamatan dan penjawat awam yang penuh komited dalam memastikan kelancaran proses pilihan raya kali ini.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!