Pakatan Harapan akan buat 'post mortem' - Fahmi
KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) akan membuat 'post mortem' menyeluruh bagi melihat kembali keputusan pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, mereka menghormati keputusan yang dibuat rakyat dan akan meneliti dengan serius 'corak' pengundian kali ini.
Menurutnya, keputusan 3-3 iaitu mengekalkan status quo negeri juga telah dijangka, berdasarkan dapatan dan kaji selidik beberapa pihak.
"Kalau kita teliti daripada beberapa dapatan daripada firma-firma kaji selidik, keputusannya lebih kurang dalam jangkaan.
"Saya lihat banyak data tambahan dan kita akan ambil kira semuanya.
"Cuma mungkin daripada segi 'turn out' itu, kena faham apa yang berlaku. Saya rasa nanti, kita akan buat 'post mortem' untuk fahami dengan lebih mendalam," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
Tambah Fahmi, tumpuan selepas ini adalah bagi meneliti gerak kerja Kerajaan Persekutuan, terutamanya dalam menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat.
Pada masa sama, beliau turut berasa sedih dengan kekalahan tipis Pakatan Harapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Calon PH, Zawawi Mughni tewas kepada calon Perikatan Nasional, Wan Dzahanurin Ahmad yang menang dengan majoriti 167.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH melalui calonnya, Mat Shuhaimi Shafiei menang majoriti besar iaitu 12,480.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!