Negeri Sembilan cuti peristiwa Isnin ini

Aminuddin berucap ketika hadir di pusat Perhimpunan Keputusan Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Klana Resort hari ini. - Foto Bernama
Aminuddin berucap ketika hadir di pusat Perhimpunan Keputusan Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Klana Resort hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan Isnin ini sebagai cuti peristiwa selepas gabungan Kerajaan Perpaduan menang pada pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu.

Menurutnya, selepas cuti berkenaan, kesemua pihak terlibat akan meneruskan tanggungjawab dalam membantu rakyat di negeri ini.

"Kemenangan ini indah kerana ini kali kita bersama, sebelum ini kita bersaing sesama kita tetapi kali ini kita nampak satu kesepakatan yang tidak pernah terfikir oleh kita bekerja sebagai satu pasukan dan kemenangan juga sebagai satu pasukan.

"Inilah kemenangan yang kita harapkan dan saya yakin selepas ini masyarakat di luar sana akan melihat ini adalah pasukan terbaik yang pastinya akan menberikan banyak kebaikkan kepada rakyat Negeri Sembilan," katanya selepas selesai pengumuman keputusan PRN Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau mengakui tidak menjangkakan kalah di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dan akan melakukan 'post moterm' berhubung kekalahan di DUN berkenaan.

"Mungkin kita akan lihat bagaimana perkara ini harus kita atasi, bagaimana penyampaian maklumat kepada mereka ini apabila ia berlaku ini keputusan yang terjadi pada mereka di luar sana," katanya.

Sebelum ini Aminuddin memaklumkan akan mengumumkan cuti peristiwa selepas keputusan PRN diumumkan pada Sabtu.

Gabungan PH-BN Negeri Sembilan berjaya membuktikan kerjasama antara mereka diterima ramai apabila secara rasmi menang di 31 daripada 36 kerusi DUN pada PRN kali ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!