PN kini wadah utama politik Melayu - Muhyiddin

Muhyiddin bercakap dalam sidang akhbar di 'war room' PN di Hotel Concorde Shah Alam. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Muhyiddin bercakap dalam sidang akhbar di 'war room' PN di Hotel Concorde Shah Alam. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - Kejayaan besar Perikatan Nasional (PN) meraih sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya di enam negeri menandakan gabungan parti itu adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN telah memenangi sebanyak 60 peratus atau 146 kerusi daripada keseluruhan 245 kerusi yang ditandingi.

"Kejayaan PN mempertahankan negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan suatu kemenangan yang besar membuktikan sokongan padu pengundi-pengundi Melayu kepada PN.

"Pada masa yang sama, Perikatan Nasional juga telah membuat 'major inroads' (penembusan) di Negeri Selangor dengan memenangi 22 kerusi berbanding hanya lima kerusi yang disandang oleh PN sebelum ini," ketika mengumumkan keputusan PRN PN di 'war room' parti itu di Hotel Concorde di sini pada awal pagi Ahad.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu, kesemua 22 kerusi yang dimenangi PN di Selangor ialah kerusi majoriti Melayu yang membuktikan bahawa parti itu mendapat sokongan besar pengundi-pengundi Melayu di Selangor.

"Kejayaan memenangi 22 kerusi ini juga bermakna PN telah berjaya menafikan majoriti 2/3 kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di negeri Selangor, yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat mereka.

"Saya percaya sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi, PN akan berjaya merampas Selangor," ujarnya.

Muhyiddin menambah, di Pulau Pinang pula, seperti mana dijangka gelombang sokongan pengundi Melayu di negeri itu telah membawa kejayaan besar kepada PN dengan memenangi 11 daripada 15 kerusi majoriti Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah satu tamparan hebat kepada Anwar Ibrahim apabila semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Permatang Pauh dimenangi oleh PN," jelasnya.

Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa, dengan kemenangan besar PN itu, UMNO telah menjadi tidak relevan lagi dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

Menurutnya, ia bermakna UMNO kalah 82 peratus daripada keseluruhan jumlah kerusi tersebut.

"PN juga berjaya memenangi kerusi campuran seperti Kulim dan kerusi majoriti kecil Melayu seperti Derga yang menunjukkan bahawa PN turut mendapat sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu.

"Ini membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan termasuk juga masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Maka benarlah pilihan raya negeri ini merupakan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan PH dan BN," dakwanya lagi.

Justeru, Muhyiddin berkata, Anwar dan Zahid Hamidi yang menerajui gabungan itu mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta-merta.