Kini masa untuk bekerja, lunas janji kepada rakyat
SHAH ALAM - Pertempuran pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri telah pun berakhir dengan pengumuman keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada malam tadi.
Rakyat Malaysia khususnya penduduk negeri Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang sudah menzahirkan rasa terpendam mereka melalui peti undi.
Tidak kira siapa yang menang atau kalah, ahli politik disaran agar terus berlapang dada serta fokus terhadap proses membina Malaysia ke arah yang lebih dinamik dan inklusif.
Bagi yang menang dalam PRN pula, kini bukan lagi masa untuk berpolitik namun perlu bekerja dan memerah keringat demi rakyat setelah diberi mandat dan kepercayaan.
Jangan pula menghilangkan diri setelah menang sebaliknya janji perlu dikotakan dengan melunaskan harapan rakyat dan membangunkan kawasan setempat.
Keluh-resah rakyat perlu diberikan perhatian kerana menangnya seorang Ahli Dewan Undangan Negeri kerana undian yang diberikan kepada mereka.
Dalam pada itu, menepati jangkaan Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre, peratusan keluar mengundi dalam PRN lebih rendah di empat negeri berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Pengundi luar lokaliti atau negeri di Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah menyatakan dalam kajian itu bahawa berkemungkinan besar mereka tidak pulang mengundi.
Laporan itu disediakan panel penyelidikan Ilham Centre iaitu Pengarah Eksekutif, Hisommudin Bakar; Ketua Operasi, Mohd Azlan Zainal; Ketua Analitik, Mohd Jalaluddin Hashim; Ketua Penyelidikan, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim dan Felo Penyelidik, Mujibu Abd Muis.
PRN kali ini mencatatkan jumlah peratusan pengundi keluar mengundi secara keseluruhan tidak mencapai 80 peratus setakat jam 4 petang.
Trend pengundi keluar mengundi menunjukkan penurunan selepas jam 12 tengah hari.
Pada PRN enam negeri kali ini menyaksikan seramai 570 calon bertanding untuk merebut sebanyak 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Seramai 9,773,571 pengundi dijangka menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih di 3,190 pusat pengundian bagi menentukan parti manakah yang akan membentuk kerajaan negeri baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!