'Tak tahu nama dalam senarai calon MB atau tidak' - Sanusi
ALOR SETAR - Calon Menteri Besar Kedah akan ditentukan oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu di luar pengetahuannya dan beliau tidak pasti sama ada namanya disenaraikan sebagai calon menteri besar untuk terus menerajui Kedah selepas PN menang besar di negeri itu.
Menurutnya, perkara berkaitan sedang diuruskan parti dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah.
“Hal ini diuruskan oleh parti dan SUK. Sama ada bawa nama saya atau nama siapa sebagai calon, saya tak tahu.
“Kepimpinan PN akan putuskan, bukan saya. Saya tak tahu nama saya ada dalam senarai atau tidak,” katanya pada sidang akhbar selepas PN diumumkan menang dalam PRN Kedah di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut di sini pada Ahad.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata, kerajaan negeri sementara yang dipimpinnya ketika ini masih berfungsi sehingga pelantikan Menteri Besar Kedah yang baharu dilakukan.
“Jawatan kita tak boleh minta, itu adalah disiplin dalam Pas,” ujarnya.
Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, PN akan mengemukakan nama calon Menteri Besar baharu di ketiga-tiga negeri dimenangi gabungan itu pada PRN dalam masa terdekat.
Katanya, ini bagi mendapatkan perkenan daripada Sultan di negeri terbabit iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pada PRN kali ini, PN menang di Kelantan, Terengganu dan Kedah selain kerusi Parlimen Kuala Terengganu serta 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, 22 di Selangor dan lima di Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan kenyataan tular di media sosial berhubung Pas menolak calon DUN Jitra, Haim Hilman Abdullah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.
Beliau dilaporkan berkata, kenyataan bertarikh 11 Ogos itu adalah palsu.
Menerusi kenyataan tular itu memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas yang berlangsung kelmarin memutuskan antara lain, Bersatu menuntut jawatan Menteri Besar diberikan kepada calon parti itu atau calon DUN Jitra.
Sehari sebelum hari pengundian, Takiyuddin mengumumkan, Sanusi dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, masing-masing kekal sebagai Menteri Besar Kedah dan Terengganu jika PN menang PRN.
Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Rusila, Terengganu, dipengerusikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, namun pelantikan mereka masih tertakluk pada perkenan sultan kedua-dua negeri.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!