UMNO perlu berani berubah jika tak mahu dilupakan - Ketua Pemuda
SHAH ALAM - UMNO perlu berani melakukan perubahan sekiranya tidak mahu parti terus dilupakan oleh masyarakat.
Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ramai bercakap mengenai kekalahan UMNO yang besar berbanding dengan kemenangan besar parti lain.
“Ia menunjukkan bahawa mereka masih sayangkan UMNO tetapi sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), UMNO hanya memenangi 19 kerusi daripada 108 kerusi yang dipertandingkan.
Parti tersebut menang dua daripada enam kerusi di Pulau Pinang dan dua negeri yang gagal menang satu kerusi ialah di Terengganu serta Kedah.
Selain itu, bagi Selangor, dua daripada 12 kerusi yang dipertandingkan telah berjaya direbut manakala hanya satu kerusi dari Kelantan.
Bagaimanapun, UMNO masih mendapat sokongan pengundi dari Negeri Sembilan apabila memenangi 14 daripada 17 kerusi yang dipertandingkan.
Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal tegas menyatakan bahawa tugas pemimpin UMNO pada kali ini adalah untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap parti itu.
“Suara rakyat harus diutamakan, bukan suara pemimpin,” ujarnya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!