'Tidak perlu panggil saya YB' - ADUN Kota Siputeh
ALOR SETAR - Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang mencipta kejutan dengan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh meminta penduduk memanggil nama panggilannya sahaja.
Mohd Ashraf Mustaqim berkata, dia selesa sekiranya penduduk memanggil dirinya Ashraf ataupun Acap sahaja berbanding Yang Berhormat (YB), walaupun memenangi kerusi DUN Kota Siputeh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Armada Bersatu berkata, dia tidak kisah penduduk Kota Siputeh memanggil namanya macam biasa seperti sebelum ini, sekali gus akan berkhidmat kepada semua.
"Kita nak bawa budaya sekecil-kecil benda. Tolong jangan panggil saya YB. Cukuplah sekadar memadai panggil Asyraf ataupun Acap.
"Jikalau, pak long, pak dan tok wan semua, panggil anak pun sudah cukup. Janganlah panggil YB. Orang luar nak panggil YB tak apa, tapi bukan orang Siputeh. Kita berkhidmat dan bekerja untuk Siputeh," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Mohd Ashraf Mustaqim memberitahu, dia yang pernah berkhidmat dengan beberapa pemimpin termasuklah bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menggunakan pengalaman untuk menabur bakti kepada segenap lapisan masyarakat.
Dalam perkembangan sama, beliau berterima kasih kepada semua pihak termasuklah jentera daripada Bersatu dan Pas yang membantu hingga membawa kemenangan kepada dirinya di Kota Siputeh.
Beliau memaklumkan, beliau akan memastikan nasib semua rakyat terbela, sekali gus tiada sesiapa yang terpinggir melalui manifesto Iltizam Suara Siputeh.
"Malah, daripada awal manifesto yang kita gagaskan dalam manifesto Iltizam Kota Siputeh adalah kita tak tinggal seorang pun," katanya.
Kata Mohd Ashraf Mustaqim, beliau bukan hanya sekadar membangunkan perkara asas di kawasan terbabit, malah akan membangunkan dalam konteks modal ihsan dan sebagainya.
Mohd Ashraf Mustaqim menang dengan majoriti 13,090 undi apabila memperoleh 17,180 undi mengalahkan penyandang DUN, Dr Salmee Binti Said dari Pakatan Harapan (PH) yang hanya memperoleh 4,090 undi dan Abdul Bin Ramli@Latif (Bebas) memperoleh 312 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!