Terbukti PN bukan kerajaan tebuk atap - Sanusi

Muhammad Sanusi pada sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah.
Muhammad Sanusi pada sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah membuktikan proses mengambil alih kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) pada 17 Mei 2020 bukan secara ‘tebuk atap’.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kemenangan di 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan sebahagian besar kerusi beroleh undi majoriti tinggi membuktikan PN mendapat mandat rakyat untuk memerintah.

Menurutnya, mandat yang diperolehi kali ini lebih besar dan diterjemahkan dalam bentuk undi agar PN terus mentadbir Kedah selepas prestasi baik sepanjang lebih tiga tahun mentadbir.

“Hari ni (PRN) terbukti, sebenarnya kita (PN) masuk ikut pintu depan. Kali ini masuk pintu depan dengan pintu yang terbuka lebih luas, dengan sokongan dan undi yang diberikan oleh rakyat Kedah,” katanya pada sidang akhbar selepas PN diumumkan menang dalam PRN Kedah di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut di sini pada Ahad.

Muhammad Sanusi mendakwa, serangan keterlaluan oleh PH dan Barisan Nasional (BN) memakan diri sendiri sehingga membawa kepada kemenangan besar PN yang membolot 33 kerusi DUN daripada keseluruhan 36 kerusi di negeri ini.

“PH dan BN seolah-olah membutakan mata mereka, memekakkan telinga kepada pencapaian-pencapaian yang telah kita buat selama tiga tahun. Perbuatan mereka itu telah dihukum oleh rakyat.

“Sebenarnya orang nampak (pencapaian PN) tetapi pasai apa hangpa tak nampak. Itulah rakyat kata, kalau kebaikan itu sudah tidak dapat dilihat lagi, apa yang berada di mata dan telinga mereka hanyalah perkara negatif yang mereka hamburkan setiap hari dan rakyat tunjukkan mereka jalan keluar (hukum),” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menang dalam PRN agar menunaikan tanggungjawab dan janji masing-masing atas kepercayaan diberikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Ketepikan dan jauhi amalan negatif yang menjadi kebencian rakyat kepada kita. Suburkan sebanyak mungkin kerja-kerja positif untuk kita pacu Kedah ke mercu lebih hebat,” jelasnya.

Mengulas tiga kerusi PH selaku pembangkang di DUN Kedah, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu tegaskan, walaupun jumlahnya kecil namun kerajaan negeri akan terus membudayakan konsep semak dan imbang secara adil.

“Kalau kosong pun (pembangkang) kita ada ‘check and balance’ dalaman iaitu antara Pas, Bersatu dan Gerakan. Kita sudah buktikan dalam tempoh tiga tahun ini, kita tak buat apa-apa yang rakyat marah atau bertentangan dengan undang-undang,” jelasnya.

Komposisi DUN Kedah pada PRU14 sehingga dibubarkan menyaksikan PN menguasai 21 kerusi DUN dengan 15 kerusi milik Pas dan Bersatu sebanyak enam kerusi.

PH pula beroleh 11 kerusi menerusi PKR (5), Parti Amanah Negara (4), serta DAP (2). BN pula memiliki dua kerusi yang kini bergabung bersama PH membentuk Kerajaan Perpaduan.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memiliki dua kerusi, namun tidak menyertai PRN kali ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tak tahu nama dalam senarai calon MB atau tidak' - Sanusi

PRN: Pencapaian terbaik PN di enam neger

BN Kedah akur tewas, gagal bentuk Kerajaan Perpaduan negeri

Kemenangan besar Jeneri, penolakan kepada gabungan PH-BN - Sanusi

Dua bekas pemain bola sepak negara menang dalam PRN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!