Menteri Besar Negeri Sembilan angkat sumpah Isnin
SEREMBAN - Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan akan diadakan di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah pada Isnin.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun kepada pemberita dalam sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada Ahad.
Bagaimanapun katanya, siapa yang bakal mengangkat sumpah hanya akan diketahui pada jam 3 petang.
"Kepada ahli dan jentera parti dan semua penyokong sama ada dari PH dan Barisan Nasional (BN) saya minta bersabar kerana dalam masa yang singkat ini kita cuba selesaikan dengan cara terbaik bagi memastikan kelangsungan Kerajaan Perpaduan dapat dilaksanakan.
"Di peringkat PH, masih sebulat suara mencadangkan saya untuk menjadi Menteri Besar dan saya rasa itu tidak berubah sampai sekarang," katanya.
Pada pilihan raya negeri (PRN), gabungan PH dan BN berjaya memperoleh kemenangan di 31 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengulas mengenai peratusan keluar mengundi di Negeri Sembilan yang tidak sampai 70 peratus, Aminuddin berkata, pihaknya turut terkejut apabila ramai pengundi tidak keluar mengundi pada Sabtu.
“Sedangkan saya lihat maklum balas mereka yang balik daripada luar itu amat baik pada malam sebelumnya. Tetapi semalam cukup tenang.
“Sehinggakan di kawasan-kawasan perumahan juga kita lihat tak banyak pergerakan daripada penduduk. Kita tak tahu apa punca tidak keluar mengundi,” katanya.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan ramai tidak pulang mengundi disebabkan baru saja berdepan Pilihan Raya Umum ke-15.
Justeru, beliau berharap perkara itu perlu dijadikan pengajaran selepas ini supaya pilihan raya dapat diadakan serentak Parlimen dan DUN.
ARTIKEL BERKAITAN: PH perlu berlapang dada, serah kerusi MB pada Jalaluddin - Peja
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!