Tun M hadir majlis kesyukuran PH
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Kesyukuran Kemenangan Rakyat sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Masjid Putra di sini hari ini.
Dr Mahathir yang memakai baju Melayu berwarna ungu, tiba jam 7 malam dan disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri-menteri Kabinet, ahli parlimen, pegawai tinggi kerajaan dan orang awam.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh pemangku Imam Besar Masjid Putra, Ustaz Lukman Mohd Hosni.
Dr Mahathir kemudiannya berbuka puasa bersama para hadirin sebaik sahaja azan maghrib berkumandang.
Selesai berbuka, Perdana Menteri bersama-sama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat maghrib secara berjemaah.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!