PH kekal bertahan di tiga negeri, Anwar 'lulus' Referendum Rakyat
JOHOR BAHRU - Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan 'lulus' dalam Referendum Rakyat apabila berjaya memimpin kerajaan Madani dalam pilihan raya di enam negeri pada Sabtu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini kerana sebagai Perdana Menteri, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ketua kerjasama PH-BN, Anwar berjaya mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Jelasnya, semua negeri tersebut adalah kubu PH dan Anwar adalah panglima perang dalam pilihan raya negeri (PRN) tersebut.
"Walaupun beliau belum berjaya menembusi kubu Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah tetapi kejayaan Anwar mempertahankan tiga negeri yang menjadi kubu kuatnya dan adalah penting diiktiraf.
"Anwar sebagai Perdana Menteri, PH sebagai gabungan politik dan PKR tidak tewas dan kalah dalam PRN ini. Memang ada beberapa kawasan yang tumbang ke tangan PN tetapi secara strategik tiga negeri dikuasai PH sebelum ini masih kekal.
"Ada hikmahnya keputusan PRN ini untuk disemak, dikaji dan diteliti oleh Anwar, PH dan PKR sebelum menghadapi pilihan raya seluruh negara yang lebih besar iaitu Pilihan Raya Umum ke-16," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada PRN tersebut, PN terus kekal di Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, perkara yang paling penting bagi Anwar selepas ini ialah membuat persiapan menjelang PRU16 dengan mendapatkan semula sokongan orang Melayu yang jelas banyak beralih kepada PN dalam PRN itu.
"Jika dilihat kempen dan propaganda PN dalam PRN yang baru berlalu ini seolah-olah PH-BN akan tewas teruk dan tiga negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan dikuasai mereka," katanya.
Beliau berkata, apa yang jelas tewas dan perlu bertanggungjawab atas kekalahan UMNO di 89 kerusi yang ditandinginya dengan logo BN ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, UMNO-BN memang jelas tewas seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang hilang deposit di semua kerusi ditandinginya tetapi itu tidak berlaku kepada PKR dan PH.
Jelas Hassan, PKR dan PH tetap menjadi pilihan rakyat untuk membina harapan bagi generasi akan datang.
Anwar katanya, kini semakin berpengalaman, semakin berwawasan dan akan sedia bermuhasabah diri setelah melalui PRN tersebut yang amat sengit dan cukup mencabar.
"Anwar perlu terus diberi peluang memikul tugas demi selamatkan negara berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang tamadun ini daripada diruntuhkan pemimpin-pemimpin politik berfahaman ekstrem kanan dan 'sectarian' di kalangan mereka yang berada dalam PN," ujarnya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!