PRN: UMNO akan buat proses penilaian diri

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan melakukan introspeksi (proses penilaian diri) menyeluruh dan muhasabah dalaman secara terperinci terhadap keputusan pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kepimpinan parti menerima segala ketentuan ALLAH SWT di atas keputusan kali ini dengan berlapang dada dan penuh keinsafan.

“Yang menang tak menang semua, yang kalah tak kalah semua. Umumnya kerjasama jentera parti Barisan Nasional dan Pakatan Harapan makin baik walaupun hanya mula berputik empat bulan lalu.

“Sama-sama kita terus bekerja kuat untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dengan memfokuskan kepada prestasi khidmat dan kerja dalam urusan pentadbiran dan pengurusan negara termasuk aspek ekonomi yang begitu kuat memberikan impak pada rakyat.

“Biarlah rakyat menilai prestasi ini terutamanya pentadbiran di peringkat Persekutuan, di samping negeri-negeri di bawah Kerajaan Perpaduan termasuk tiga negeri yang berjaya dikekalkan dalam PRN kali ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Asyraf turut berterima kasih kepada semua jentera parti dari seluruh negara yang berkampung lebih dua minggu di enam negeri yang terlibat dengan PRN.

“Sesungguhnya pengorbanan dan kerja kuat semua amatlah dihargai dan hanya ALLAH sahajalah yang mampu membalas segalanya dengan limpahan rahmat dan keberkatan-Nya jua.

“Moga ALLAH permudahkan segala usaha baik yang disulami keikhlasan hanya bermatlamat untuk khidmat yang terbaik demi rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!