Calon BN yang tewas mangsa keadaan - MCA Kelantan

Hock Kuan (kanan) semasa turun padang memberi sokongan kepada calon BN DUN Kelaboran baru-baru ini. - Foto FB Chua Hock Kuan
Hock Kuan (kanan) semasa turun padang memberi sokongan kepada calon BN DUN Kelaboran baru-baru ini. - Foto FB Chua Hock Kuan
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi MCA Kelantan, Chua Hock Kuan menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) yang tewas pada pilihan raya negeri (PRN) adalah mangsa keadaan.

Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata, hal ini kerana kesemua calon yang ditampilkan itu bukan tidak berkaliber, tidak cakna atau berkemampuan.

"Contoh ayat yang sinonim...'Awe orang baik, tapi kita takleh sokong demi masa depan anak cucu'. Harapkan daya tarikan batang tubuh calon tidak cukup besar impaknya berbanding daya tarikan sebuah parti.

"Dilema ini tidak akan berkesudahan kalau pemimpin yang sama dan masih mengamalkan sikap 'penafian'," tegasnya.

Menurut Hock Kuan, jika dahulu MCA ditolak masyarakat Cina, kali ini UMNO pun ditolak oleh masyarakat Melayu.

Tambah beliau, persoalan selepas ini adakah UMNO akan meninggalkan undi Melayu dan mengharapkan undi Cina hasil ihsan DAP?

Katanya, calon-calon UMNO yang hendak bertanding selepas ini perlu berebut kerusi majoriti Cina.

"Keputusan MCA tidak bertanding dalam PRN ini ada juga baiknya.

Artikel Berkaitan:

"Kalau sebelum ini hanya dilihat sebagai biawak hidup dalam gabungan, kali ini siapa pula nak 'dibiawak hidupkan' kerana hanya UMNO yang bertanding mewakili BN," tegasnya.

Beliau berharap BN dibina semula dengan kepimpinan yang sederhana, mulai sekarang lebih baik daripada mencari keuntungan segera dalam politik.

Jelas Hock Kuan, perjuangan ini adalah berterusan dalam memenangi hati rakyat dan bukannya mencari kuasa untuk pemimpin yang sudah hendak bersara.

"BN sebuah parti yang dahulunya dikenali dengan kesederhanaan, perkongsian kuasa antara kaum sehinggalah bertukar menjadi parti yang dilihat menjadi perisai kepada sesetengah pemimpin, parti yang hanya gila kuasa serta mahu dominan kepada parti komponen sendiri.

"Bila mana parti komponen sudah lemah, ini akan sendirinya melemahkan UMNO itu sendiri," katanya.

Beliau berkata, BN akan boleh bangkit dalam satu jangka masa apabila kerjasama erat antara parti komponen yang mewakili pelbagai bangsa bertaut semula dan pemimpin saling menghormati sebagai rakan kongsi dan bukan dilihat sebagai tauke dengan kuli.

"Tawarkan sebuah kesederhanaan dalam masyarakat melalui kepimpinan. Tidak mengeluarkan kenyataan radikal terhadap mana-mana pihak, bangsa atau agama.

"Saya percaya tawaran sebegini akan memikat semula majoriti rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!