Air Busan buat penerbangan terus ke Sabah
KOTA KINABALU - Syarikat penerbangan tambang rendah Korea Selatan, Air Busan akan memulakan penerbangan terus ke Kota Kinabalu, Sabah pada bulan ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew berkata penerbangan empat kali seminggu dari Daegu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini akan bermula 15 Mei ini, manakala penerbangan harian dari Busan ke KKIA akan bermula 22 Mei.
“Ini merupakan rangkaian pertama Air Busan bersama-sama Sabah. Kesalinghubungan tambahan ini menjadikan jumlah penerbangan terus dari Korea Selatan ke KKIA secara mingguan adalah sebanyak 48,” katanya pada sidang akhbar selepas penerbangan sulung Air Busan dari Daegu dan Busan ke Kota Kinabalu, hari ini.
Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, Sabah merekodkan kehadiran 82,074 pelancong dari Korea Selatan pada tahun lepas, sekali gus sebagai sumber pasaran kedua terbesar bagi kedatangan pelancong antarabangsa ke negeri itu.
“Saya berharap dengan inisiatif ini, kami boleh menerima lebih ramai pelancong ke pantai timur negeri ini. Kami juga bercadang menaik taraf lapangan terbang ini di pantai timur bagi membolehkan syarikat penerbangan asing mewujudkan penerbangan terus ke sana.
“Pada minggu depan, kami akan melancarkan kempen kesedaran di Tawau untuk menggalakkan penduduk tempatan membuat persediaan terhadap aktiviti pelancongan (di kawasan ini),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Liew berkata kerajaan negeri yakin Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah yang dijangka siap pada akhir tahun ini atau awal tahun depan, akan menggalakkan industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran pemasaran dan pelancongan di peringkat negeri.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!