PRN: Polis Selangor terima 58 laporan pada hari mengundi

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 58 laporan pada hari pembuangan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah tersebut, pihaknya telah membuka 50 kertas siasatan.

Menurutnya, sebanyak 48 laporan dibuka di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, manakala satu laporan masing-masing disiasat di bawah Seksyen 4(A)(1) dan Seksyen 26 akta sama.

"Bagi lapan laporan yang lain, ia diklasifikasikan sebagai 'No Offence Disclosed' iaitu laporan polis yang dibuat tidak ada berlakunya apa-apa kesalahan dan tangkapan.

"Kesemuanya merupakan laporan dibuat oleh pasukan Ops Cantas yang melakukan pemeriksaan PRN Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, dua laporan diklasifikasikan sebagai 'No Further Action' (NFA) dan empat dikategorikan sebagai 'Refer Other Agency' (ROA).

Kata beliau, sepanjang tempoh berkempen bermula 29 Julai sehingga hari mengundi pada Sabtu, polis Selangor menerima sebanyak 779 laporan polis.

"Daripada jumlah tersebut,sebanyak 78 kertas siasatan telah dibuka dan dua tangkapan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 701 kes adalah melibatkan tindakan pencegahan oleh polis Selangor serta kes-kes yang tidak mempunyai unsur jenayah," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan pemantauan di setiap kempen atau ceramah yang diadakan di Selangor adalah sebanyak 3,463.

Daripada jumlah itu katanya, kempen berpermit adalah 2,517 dan kempen tanpa permit sebanyak sembilan, manakala ceramah berpermit (936) dan ceramah tanpa permit (1).

"Polis kontinjen Selangor ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua calon yang bertanding, penyokong serta warga Selangor dalam membantu melancarkan perjalanan PRN kali ini," ujarnya.

Jelas Hussein, jumlah kekuatan polis kontinjen Selangor yang bertugas pada hari pengundian adalah seramai 13,319 orang.

Tambahnya, PDRM negeri Selangor telah berjaya menjalankan tugas dengan sebaiknya, malah tiada insiden tidak diingini berlaku pada hari penting tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!