Gagal rampas Terengganu, BN perlu muhasabah - Tengku Zaihan

Suasana di sekitar bandar Chukai Kemaman yang masih meriah dengan penyokong-penyokong parti masing-masing yang berkumpul untuk berkempen pada saat-saat akhir pada Jumaat. - Foto Bernama, gambar kecil: Tengku Zaihan
Suasana di sekitar bandar Chukai Kemaman yang masih meriah dengan penyokong-penyokong parti masing-masing yang berkumpul untuk berkempen pada saat-saat akhir pada Jumaat. - Foto Bernama, gambar kecil: Tengku Zaihan
A
A
A

BESUT - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menganggap keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN) Terengganu perlu dijadikan ruang kepada semua pihak bermuhasabah.

Ujarnya, meskipun sedih dengan kegagalan itu, namun ia perlu diterima dengan hati terbuka.

"Walaupun keputusan kali ini tidak memihak kepada kita, ia memberi suatu peluang untuk kita sama-sama bermuhasabah dan melihat akan hikmah di atas setiap yang berlaku," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

PRN yang berlangsung pada Sabtu menyaksikan Tengku Zaihan tewas kepada pencabarnya, Azbi Salleh dengan majoriti 4,119 undi.

Azbi yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menang selepas memperoleh 11,496 undi, manakala Tengku Zaihan mendapat 7,377 undi.

Sementara itu, dalam hantaran sama, Tengku Zaihan turut mengucapkan terima kasih kepada semua jentera dan penyokongnya atas kerja kuat sepanjang tempoh berkempen lalu.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf jika ada salah dan silap sepanjang tempoh dua penggal saya berkhidmat.

"Segala yang baik itu adalah daripada ALLAH SWT dan segala yang buruk itu adalah kelemahan serta kekurangan dari diri saya sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua calon yang menang pada PRN kali ini.

"Tahniah kepada semua pemenang yang bertanding, semoga dapat menggalas tugas dan tanggungjawab dengan amanah dan adil," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!