Teka-teki Menteri Besar baharu Kelantan
KOTA BHARU - Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan menyaksikan Pas bersama rakan sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) menang besar dengan memperoleh 43 daripada 45 kerusi yang ditawarkan.
Sebaik sahaja PN berjaya membentuk kerajaan di Kelantan dengan majoriti dua pertiga, tumpuan kini beralih kepada siapa yang akan dilantik sebagai Menteri Besar untuk penggal akan datang.
Pelantikan itu sememangnya ditunggu-tunggu dengan penuh debar oleh rakyat Kelantan selepas Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Kelantan bakal mendapat MB dan Timbalan Menteri Besar yang baharu sekiranya PN menang pada PRN.
Kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu, perubahan kedudukan dua jawatan itu dengan mengemukakan gabungan kepimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan.
Langkah tersebut tepat apabila penyandang sebelum ini, Datuk Ahmad Yakob membuat keputusan berundur daripada jawatan itu atas faktor kesihatan dan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada parti.
Ahmad ketika ditemui pemberita pada Sabtu selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Tumpat menjelaskan, sebanyak tiga nama akan dikemukakan kepada Presiden dan kemudian dipersembahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk mendapat perkenan.
Melihat kepada kenyataan Takiyuddin dan Ahmad itu, antara calon-calon yang dilihat layak untuk mengisi jawatan berkenaan ialah Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah (Panchor), Datuk Mohammad Fadzli Hassan (Temangan) dan Datuk Mohd Nassuruddin Daud (Meranti).
Ketiga-tiga 'figura' ini bukan sahaja mempunyai latar belakang agama, malah mempunyai wibawa sebagai seorang pemimpin sebagaimana digariskan oleh Pas.
Latar belakang pendidikan agama dilihat penting untuk seorang MB Kelantan apabila rakyat negeri ini begitu selesa dengan pemimpin yang boleh menyampaikan kuliah agama.
Menariknya, pada PRN kali ini ketiga-tiga tokoh itu berjaya mempertahankan kerusi masing-masing dengan majoriti lebih 10,000 undi dan ke atas.
Bagaimanapun, tumpuan kini lebih terarah kepada Mohd Amar dan Mohammad Fadzli.
Jika dilihat pengalaman dalam politik, Mohd Amar lebih 'matang' dan kedepan apabila menggalas tanggungjawab sebagai Naib Presiden Pas selain pernah menjadi Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, berbanding Mohammad Fadzli yang hanya menggalas tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan serta Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi pada penggal lalu.
Dalam pada itu, Ahmad memberitahu jawatan MB bukan mudah kerana ia satu tanggungjawab yang berat dan individu itu perlu tahan berdepan ujian.
Sungguhpun begitu, semuanya perlu mendapat perkenan Sultan Kelantan.
Jika Sultan memberi perkenan, maka orang itulah akan diangkat sebagai Menter Besar Kelantan untuk penggal akan datang.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!
ARTIKEL BERKAITAN: MB baharu Kelantan perlu jalin hubungan baik dengan kerajaan pusat
PRN: Pas tukar MB, Timbalan MB Kelantan jika menang
Ahmad mahu undur diri sebagai MB kerana uzur - Abdul Hadi
Mohd Amar enggan ulas isu tukar MB, Timbalan MB Kelantan
Mohd Amar sahkan MB Kelantan tolak kekalkan jawatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!