'Insya-ALLAH BN tetap di hati' - Ahmad Said
KUALA TERENGGANU - Biarpun tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang bekerja keras berkempen untuk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN).
Menurutnya, meskipun keputusan PRN Terengganu kali ini tidak memihak kepada BN namun gabungan itu tersemat rapi di hatinya.
"Semalam berakhir sudah PRN Terengganu. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengundi, jentera dan penyokong N30 DUN Kijal yang bekerja keras berkempen serta mengundi untuk BN.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf jika ada salah dan silap saya sepanjang berkhidmat.
"Walaupun keputusan tidak memihak kepada kami, Insya-ALLAH BN tetap di hati," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Ahmad yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal tewas kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris dengan majoriti 3,758 undi.
Kegagalan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandangnya selama sembilan penggal merupakan antara keputusan yang mengejutkan.
Razali yang merupakan muka baharu mengalahkan Ahmad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu selepas memperoleh 13, 403 undi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad kekal mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandang sejak 1990 dengan majoriti 1,265 undi.
Ahmad menerima 9,545 undi menewaskan calon Pas, Hazri Jusoh yang menerima 8,280 undi dan calon Pakatan Harapan, Wan Marzuki Wan Sembok yang memperoleh 1,472 undian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!