Dua beranak maut tercampak dari Honda CRV
SUV jenis Honda CRV terbabas ke longkang di selekoh
KOTA BHARU - Dua beranak termasuk seorang wanita warga emas maut selepas tercampak dari kenderaan yang terbabas dalam kemalangan di Kilometer 73 Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang pada Ahad.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12 tengah malam itu mengorbankan pemandu kenderaan terbabit, Normardiah Taha, 45, dan penumpang hadapan yang juga ibunya, Fatimah Sa'aid, 67.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, petugas trafik daerah itu menerima maklumat berhubung satu kemalangan jalan raya berlaku melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V yang terbabas sendiri.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan kenderaan dipandu seorang wanita yang juga suri rumah dalam perjalanan dari arah Ipoh, Perak menuju ke Kuala Terengganu, Terengganu.
“Wanita itu bersama ibunya menaiki Honda CR-V dan apabila sampai di lokasi kejadian dipercayai kenderaan yang dipandunya hilang kawalan semasa mengambil selekoh dilaluan menurun yang curam dan berselekoh.
"Kenderaan terbabit kemudiannya terbabas ke dalam parit di sebelah kiri jalan dan melanggar tiang elektrik,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad.
Choon Foo berkata, dalam kemalangan itu juga, kenderaan yang dinaiki mangsa turut berpusing beberapa kali menyebabkan penumpang yang berada di bahagian hadapan tercampak keluar daripada kenderaan.
Tambahnya, kedua-dua mangsa maut dalam kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat-mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkait kejadian boleh menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!