Neera Azizi dibayangi kakak?
KETIKA awal mengenali si cantik manis tinggi lampai ini, penulis sendiri rasa bercelaru menentukan sama ada beliau ialah Neera Azizi atau Zeera Azizi?
Tatkala berkongsi perkara itu dengan tuan punya badan, pemilik nama sebenar Nurazneera Azizi turut mengakui masih ada yang tidak dapat membezakan dan menyapanya dengan panggilan Zeera.
"Rasa lucu juga bila masih ramai yang keliru dengan kami. Tadi pun (sebelum sesi temu bual dibuat), ada yang menegur saya dengan panggilan Zeera, tapi saya tidak melatah.
"Bukan hanya orang sekeliling, kadangkala yang nak ambil bekerja pun tak tahu mana satu Neera dan Zeera. Mujurlah emak yang menjadi pengurus kami, jadi bila ada yang menghubungi untuk tawaran kerja, mak akan minta mereka hantar tangkap layar profil Instagram kami terlebih dulu," kongsinya.
Neera menjawab soalan itu ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya, Bukan Cinta Sempurna.
Jelas Neera, jika diamati, beliau dan kakaknya tidak mempunyai banyak persamaan dari segi wajah. Cuma ketinggian dan nama sahaja yang hampir sama.
"Apa yang lebih melucukan bila ada yang menyangkakan saya kakak dan Zeera adik. Bila orang kata nak beri tawaran pada kakak, emak tahu itu untuk saya.
"Awal dulu ada juga rasa bimbang kalau-kalau ada pihak mahu beri job kepada saya, tetapi keliru dan memberinya kepada Neera. Namun, kini saya percaya pada rezeki masing-masing," ujarnya.
Ditanya apa yang dilakukan oleh Zeera sekarang? Ujar Neera, kakaknya kini memilih untuk memperlahankan karier seni demi memenuhi tuntutan tugas di awan biru.
Bercerita lanjut tentang kerjaya seninya, anak kelahiran Melaka Bandaraya Bersejarah yang memulakan karier seni sejak 2016 itu bersyukur masih kekal utuh, biarpun bersaing dengan ramai lagi bakat baharu di luar sana.
Tidak berminat untuk menggunakan jalan pintas untuk cepat dikenali, Neera tekad berpegang kepada niat asal untuk menyertai industri seni atas dasar minat terhadap dunia lakonan.
"Sejak awal lagi, saya memang pasang niat masuk industri seni untuk berlakon, bukan untuk popular. Alhamdulillah, saya dapat apa yang dihajati.
"Bagi saya apa yang penting adalah untuk kekal relevan dalam industri dan bukannya naik sekejap kerana kontroversi, tetapi kemudian menghilang begitu sahaja.
"Apa yang penting kita kena ikhlas dalam bekerja dan yang lain-lainnya seperti populariti biarlah datang dengan sendiri," ujarnya yang mengakui tidak mahu mencuba pelbagai cabang seni dan mahu fokus terhadap bidang lakonan sahaja.
Tampil berani
Sementara itu, berkongsi peranannya dalam drama baharu Bukan Cinta Sempurna di slot Tiara Astro Ria, Neera berkata, beliau memegang watak antagonis sebagai Marina.
Marina merupakan bekas kekasih Luqman lakonan Fadlan Hazim dan berusaha menagih kembali cinta lelaki itu.
"Selalu kalau watak antagonis ini dikaitkan dengan bimbo, tetapi Marina dipotretkan sebagai wanita yang pintar dan berpelajaran.
"Watak Marina akan berkembang lebih jahat tatkala Luqman mempunyai konflik dengan Qistina (Ayda Jebat)," ujarnya.
Selain mereka bertiga, drama yang diadaptasi daripada siri popular Sepanyol, Cafe Con Aroma turut dibintangi Amar Baharin, Shah Iskandar, Hanna Aqeela, Emelda Rosemila, Ziela Jalil, Alif Hadi, Yasmin Hani dan ramai lagi.
Tambah Neera, bagi membawa kelainan, beliau tampil berani dengan imej seksi agar bersesuaian dengan watak asal drama itu.
"Ikutkan saya memang tidak suka berpakaian seksi, tetapi saya minta pandangan emak ayah dahulu. Permintaan ini juga dibuat oleh pihak produksi dan saya cabar diri untuk buat kelainan. Selain itu, saya tampil dengan 'look' yang berbeza termasuk gaya rambut dan solekan.
"Berdebar juga menantikan reaksi penonton untuk menilai sama ada watak saya memberi impak atau tidak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!