Calon MB, Aminuddin atau Jalaluddin?
SEREMBAN - Teka-teki calon Menteri Besar Negeri Sembilan sama ada dari Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) hanya akan terjawab pada Isnin.
Jika calon pemimpin nombor satu negeri itu akan dilantik daripada PH, semestinya Datuk Seri Aminuddin Harun yang bakal mengangkat sumpah manakala jika daripada BN, nama Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menjadi sebutan.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga memaklumkan yang gabungan itu bersedia mencalonkan semula Pengerusi PH Negeri Sembilan itu sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan Kerajaan Perpaduan itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Beliau turut memberitahu cadangan mencalonkan Aminuddin juga sudah dibincangkan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook juga sebelum ini secara terbuka menyatakan sokongan supaya Aminuddin terus diangkat sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun Jalaluddin pula ketika ditanya pemberita pada program Santai Minum Pagi Bersama Masyarakat Kampung Chennah baru-baru ini berpendapat, kesemua 18 calon lelaki daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ditandingi gabungan itu layak untuk menjadi calon Menteri Besar.
Kenyataan Ahli Parlimen Jelebu itu seperti memberi 'hint' yang beliau berharap calon Menteri Besar dilantik dari parti itu dan ia berasas memandangkan kerusi dimenangi UMNO lebih banyak iaitu 14 berbanding PKR lima dan Amanah dua.
Kalau berdasarkan keputusan terbabit, hanya lima calon daripada PH yang layak menjawat jawatan itu kerana tiga daripadanya ialah calon wanita.
Jalaluddin ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad berkata, tidak mengetahui siapa calon Menteri Besar yang akan mengangkat sumpah pada Isnin.
Pada masa sama beliau turut menafikan dirinya adalah calon Menteri Besar tetapi diminta ke Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah bagi menghadiri majlis berkenaan memandangkan kini beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang.
"Saya tak tahu siapa (Menteri Besar). Dia (Aminuddin) dah buat sidang media mengumumkan (berkenaan majlis angkat sumpah esok).
"Saya tak dapat surat dan saya pun tak buat sidang media. Esok semua wakil rakyat dijemput dan saya ADUN Pertang pun perlu turun," katanya.
Sementara itu ditanya pandangan sama ada Negeri Sembilan akan mengikut Kelantan melantik Timbalan Menteri Besar, Jalaluddin berkata, perkara itu perlu ditanya kepada Menteri Besar baharu yang akan mengangkat sumpah.
Sebelum ini bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menyatakan pandangan yang calon Menteri Besar perlu dilantik dalam kalangan BN sekiranya parti itu memenangi lebih kerusi PH pada PRN.
Ujarnya, pengiraan itu perlu digunakan bagi memberi keadilan kepada kedua-dua gabungan terbabit.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!