Sokong Prabowo jadi calon Pilpres 2024

Calon Pilpres 2024 (dari kiri) Anies Baswedan, Granjar Pranowo dan Prabowo Subianto. - Foto Agensi
Calon Pilpres 2024 (dari kiri) Anies Baswedan, Granjar Pranowo dan Prabowo Subianto. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Prabowo Subianto menerima sokongan hampir separuh daripada sembilan parti politik di Parlimen, sekali gus meletakkan beliau di hadapan dua calon lain untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia 2024.

Menerusi pengumuman pada Ahad, parti tertua di negara itu, Parti Golkar dan Parti Amanat Nasional (PAN) yang berhaluan Islam berikrar untuk menyokong Menteri Pertahanan dan bekas jeneral tentera tersebut.

Prabowo, 71, dalam satu kenyataan turut menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

"Kita terlibat dalam politik yang memainkan peranan dalam kemajuan rakyat dan negara. Kita tidak mahu rakyat berasa ragu-ragu dengan kecintaan kepada tanah air," ujarnya.

Sebelum ini, Prabowo mendapat lampu hijau daripada partinya sendiri, Gerindra dan Parti Kebangkitan Nasional (PKB).

Undang-undang negara itu menghendaki sebuah parti atau gabungan parti mempunyai sekurang-kurangnya 20 peratus kerusi Parlimen untuk mengemukakan nama pasangan regu terdiri daripada calon Presiden dan Naib Presiden kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU).

Gabungan parti yang berpihak kepada Prabowo bagaimanapun belum memilih calon yang bakal bertanding bersama beliau.

Antara nama-nama yang tersenarai termasuk Menteri Perusahaan, Erick Thohir dan Datuk Bandar Solo, Gibran Rakabuming yang merupakan anak Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

Artikel Berkaitan:

Pendaftaran calon Pilpres dijadualkan bermula pada 19 Oktober dan berakhir pada 25 November depan yang akan disusuli dengan tempoh berkempen untuk pemilihan pada 14 Februari 2024. - Agensi


Info

>Parti menyokong pencalonan Prabowo menguasai 46 peratus kerusi Parlimen.

>Dua calon Pilpres, Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan masing-masing meraih 26 peratus serta 28 peratus sokongan.


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!