Panjat bumbung, sembunyi belakang pintu elak dicekup imigresen
LUMUT - Sanggup panjat bumbung, bersembunyi di sebalik pintu dan merempuh kepungan pihak berkuasa.
Itu antara tindakan beberapa warga asing yang cuba melarikan diri dalam Op Sapu, Selera, Kutip dan Belanja sekitar daerah Manjung di sini, pada Jumaat lalu.
Dalam operasi bermula jam 6.30 petang hingga 12.30 tengah malam itu, seramai 90 warga asing berusia setahun hingga 50 tahun ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Hapdzan Husaini berkata, seramai 31 pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa terlibat dalam operasi yang melibatkan premis perniagaan dan kawasan perumahan.
"Seramai 104 telah diperiksa namun, hanya 90 individu telah ditahan terdiri daripada 63 lelaki dan 27 perempuan termasuk lima kanak-kanak.
"Kesemua mereka merupakan warga Bangladesh, Pakistan, India, Nepal, Indonesia dan Myanmar. Dengan kecekapan anggota operasi kesemua cubaan melarikan diri berjaya dipatahkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.
"Kesemua mereka turut disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Pasport 1966," katanya.
Hapdzan berkata, siasatan diteruskan terhadap pemilik kediaman dan premis perniagaan yang membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di premis mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!