Kantoi curi motosikal, suspek ditahan orang awam

Suspek yang merupakan warga Myanmar ditahan polis kerana disyaki mencuri motosikal. - Foto PDRM
Suspek yang merupakan warga Myanmar ditahan polis kerana disyaki mencuri motosikal. - Foto PDRM
A
A
A

SIK - Tindakan pantas orang awam menghalang perbuatan suspek curi motosikal di sebuah pasar mini di sini, membolehkan lelaki terbabit berjaya ditahan polis pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, kejadian berlaku pada jam lebih kurang 4.05 petang di mana motosikal milik seorang pekerja pasar mini terbabit diparkir di luar premis.

Menurutnya, ketika sedang bekerja, pemilik dimaklumkan oleh rakannya bahawa motosikal miliknya diambil orang.

"Mangsa terus keluar untuk memeriksa dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali sedang menolak motosikal dan memakai helmet miliknya.

"Mangsa terus menahan lelaki tersebut dengan dibantu orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Abdull Razak, pada jam 4.12 petang, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sik telah membuat tangkapan semula terhadap suspek daripada orang awam.

"Hasil siasatan awal, suspek yang merupakan warga Myanmar mengaku mencuri motosikal tersebut untuk dibawa balik ke Pulau Pinang.

"Terdapat saksi yang melihat kejadian tersebut, keterangan saksi telah diambil oleh pegawai penyiasat dan mengesahkan kejadian yang berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, suspek yang dikesan tidak memiliki dokumen pengenalan diri telah direman bagi meneruskan siasatan.

"Kes disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Abdull Razak berkata, polis menasihati orang ramai agar menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan mencurigakan bagi mencegah perlakuan jenayah demi keamanan semua pihak.

"Bagaimanapun, orang ramai diingatkan untuk tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang semasa membuat penahanan terhadap suspek yang disyaki melakukan jenayah sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sebelum ini, video berdurasi 23 saat telah dimuat naik di media sosial memaparkan seorang lelaki ditahan orang awam kerana disyaki mencuri motosikal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!