Sasaran final bukan satu tekanan
PENGENDALI skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, E Elavarasan menegaskan sasaran layak ke perlawanan akhir Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2023 bukan tekanan buat skuad Harimau Muda.
Sebaliknya, Elavarasan berkata, dalam mana-mana kejohanan, sasaran perlu diletakkan sehingga peringkat tertinggi dan percaya perkara sama dilakukan kebanyakan pasukan dalam usaha menyuntik motivasi serta keyakinan barisan pemain.
"Dalam mana-mana kejohanan sasaran memang kita terpaksa pergi sampai ke tahap tertinggi, saya rasakan mana-mana pasukan pun perlukan sasaran itu untuk pastikan pemain mereka mempunyai matlamat.
"Jadi, untuk kami dan tujuh pemain baharu kali ini, ia (final) satu cabaran yang baik kerana di Sukan SEA 2023 kita tidak sampai ke tahap yang sepatutnya kita berada, tetapi dengan pengalaman lepas kita akan buat yang terbaik," katanya pada hari pertama kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Kuala Lumpur pada Ahad.
Terdahulu Elavarasan menyenaraikan tujuh muka baharu dalam senarai 25 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat dengan 13 pemain yang tidak terlibat dengan perlawanan Liga Super melapor diri pada Ahad.
Beliau berkata, enam pemain lagi akan melapor diri esok dan skuad penuh dijangka dapat dikumpulkan pada Selasa ini.
Menurut Elavarasan, kejohanan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand dari 17 hingga 26 Ogos ini merupakan satu lagi pentas terbaik untuk menguji tahap pemain sebelum pasukan bersaing pada pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024, September ini.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Timor Leste dan juara Sukan SEA 2023, Indonesia dengan juara setiap kumpulan bersama naib juara terbaik akan layak ke peringkat separuh akhir.
Kumpulan A menghimpunkan pasukan tuan rumah Kemboja, Brunei dan Myanmar sementara Kumpulan C dibarisi juara bertahan Vietnam, Filipina dan Laos.
Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan itu adalah menduduki tempat keempat pada edisi sulung 2005.
KEJUARAAN B-23 AFF 2023
KUMPULAN A
Kemboja, Brunei dan Myanmar
KUMPULAN B
Malaysia, Timor Leste dan Indonesia
KUMPULAN C
Vietnam, Filipina dan Laos
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!