Battle of The Band kembali selepas 20 tahun

Murad (kanan) pada sidang media baru-baru sambil disaksikan Baggio.
Murad (kanan) pada sidang media baru-baru sambil disaksikan Baggio.
A
A
A

SETELAH kali terakhir dianjurkan 20 tahun lalu, penganjuran festival mencungkil bakat kugiran tempatan iaitu Battle Of The Band (BOTB) kembali disemarakkan tahun ini.

Pengarah MASH Entertainment Sdn Bhd yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Hidayah (HERO), Dr Murad Hilmi Mohamed berkata, festival itu bakal menjadi platform kepada bakat muda yang ingin mempamerkan bakat dan karya menerusi bidang muzik.

Ujarnya lagi, BOTB 2023 kembali dengan format baharu dan terbuka disertai oleh mana-mana kumpulan muzik di seluruh Asia termasuk Singapura, Indonesia dan Brunei.

“Apa yang ingin diketengahkan adalah menggarap muzik berkualiti dan bakat-bakat yang bakal meneruskan legasi untuk mewarnai industri muzik.

“Kami masih mengekalkan nama BOTB kerana ia sudah sinonim dengan kugiran,” katanya.

Barisan mentor yang hadir pada sidang media baru-baru ini.
Barisan mentor yang hadir pada sidang media baru-baru ini.

Murad berkata demikian ketika sidang media BOTB yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Mengenai penganjuran festival itu, kata Murad, objektif utama untuk membuka peluang kepada studio rakaman agar kembali bernafas semula.

Artikel Berkaitan:

Katanya, fenomena bakal tercetus dengan penganjuran festival itu, sekali gus akan menaikkan martabat penggiat seni tanah air.

“Semoga festival ini dapat memberikan impak besar kepada industri muzik tempatan dengan kepelbagaian genre muzik berkualiti tinggi.

“Kami mahu mencari bakat berkualiti yang mampu kekal relevan dalam industri muzik, bukan tenggelam selepas muncul dengan satu single sahaja,” ujarnya.

Lebih istimewa, barisan artis legenda BOTB seperti Lord Lokman (The Boys), pemain dram Ekamatra, Acid; ketua kumpulan dan pemain gitar Bloodshed, Hamdan dan Bagio Damasutra bertindak sebagai mentor program ini.

Sementara itu, mengulas acara itu, kata Murad, peserta perlu melalui sesi saringan peringkat pertama yang bakal berlangsung antara 7 hingga 10 September depan bertempat di Pasir Gudang, Johor.

“Lokasi Pasir Gudang dipilih kerana ia sinonim dengan BOTB sejak dianjurkan pada 1974. Seramai 15 peserta dipilih pada saringan pertama dan diuji sekali lagi pada sesi separuh akhir pada 23 September depan.

“Peserta akan diberi peluang menyampaikan lagu saduran dan cabaran. Contohnya, lagu Damasutra dalam genre rock balada, kita akan cabar peserta menyampaikan dalam rentak reggae dan melihat bagaimana membuat susunan semula muzik mengikut kreativiti,” jelasnya.

Tambahnya, seramai 10 peserta terbaik akan dipilih untuk melayakkan diri ke peringkat akhir yang bakal berlangsung di Jobox, Angsana, Johor Bahru.

“Pemenang pertama bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi dan berpeluang merakamkan single baharu. Tempat kedua RM5,000 dan ketiga RM3,000.

“Kami juga bercadang menganjurkan pertandingan bagi musim kedua dan ketiga sekiranya festival ini mendapat sambutan peserta,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!