Harimau Selatan baham Yob

Penyerang import JDT, Heberty Fernandes cuba melepasi kawalan pertahanan Perak FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi. - Foto: FB Johor Southern Tigers
Penyerang import JDT, Heberty Fernandes cuba melepasi kawalan pertahanan Perak FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi. - Foto: FB Johor Southern Tigers
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta'zim meneruskan penguasaannya di puncak Liga Super apabila membenam cabaran Perak FC, 5-0, di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri sebentar tadi.

Bermula garang sebaik wisel permulaan, JDT lebih dahulu menguji benteng pelawat ketika perlawanan baru memasuki minit ke-2, namun rembatan pemain import, Endrick Dos Santos berjaya ditampan penjaga gol pelawat, T Shaheeswaran.

Skuad Harimau Selatan itu sekali lagi berpeluang untuk membuka jaringan pada minit ke-12, namun rembatan pemain import, Oscar Aribas sekadar melintasi pintu gol.

Skuad kendalian Esteban Solari itu akhirnya membuka jaringan hasil rembatan cantik pemain import, Heberty Fernandes pada minit ke-20.

Tersentak dengan jaringan itu, kesebelasan skuad The Bos Gaurus itu mula bangkit mengatur asakan ke gawang tuan rumah.

Bagaimanapun, asakan berkenaan berjaya dikekang benteng pertahanan skuad Harimau Selatan.

Hasil satu serangan balas, JDT menambah gol kedua hasil jaringan pemain pertahanan, Matthew Davies pada minit ke-26.

Penyerang import, Bergson Da Silva kemudiannya menjaringkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-36 hasil kesilapan yang berlaku di depan pintu gol skuad Kejor Yob Kejor.

Artikel Berkaitan:

Perlawanan selepas itu dilihat lebih banyak berlegar di kawasan tengah tanpa sebarang jaringan dihasilkan kedua-dua pasukan bagi menyaksikan JDT selesa memimpin perlawanan 3-0 menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua menyaksikan JDT semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan.

Skuad Harimau Selatan itu berpeluang menambah jaringan pada minit ke-47, namun Bergson gagal menampan tepat lorongan rakan sepasukan.

Kegagalan itu bagaimanapun ditebus pemain import, Oscar Aribas yang berjaya melepasi kawalan pertahanan pelawat sebelum merembat deras menewaskan Shaheeswaran pada minit ke-55.

Gawang Perak FC bocor lagi pada minit ke-66 dan kali ini hasil sepakan percuma cantik pemain import, Juan Muniz Gallego.

Pada penghujung perlawanan, tiada tambahan jaringan dihasilkan oleh kedua-dua pasukan sekali gus menyaksikan kedudukan 5-0, memihak kepada tuan rumah kekal hingga ke wisel penamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!